Anda di sini

Enam premis makanan diarah tutup

Advertisement

Oleh Hamimi Kassim //

Sehingga Disember 2014, sebanyak 1,545 premis makanan telah diperiksa dalam Operasi Premis Makanan Bersih, kata Dr Ho

KUCHING: Sehingga Disember 2014, sebanyak 1,545 premis makanan telah diperiksa dalam Operasi Premis Makanan Bersih di mana enam premis telah diarahkan tutup di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

Pegawai Epidemiologi Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching Dr Ho Ai Chia berkata, melalui operasi itu juga sejumlah 26 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 2009.

“Kesemua enam premis yang ditutup dan 26 kompaun berjumlah RM9,750 itu adalah di daerah Kuching,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Operasi Premis Makanan Bersih 2015 di Pejabat Kesihatan Bahagian di sini, semalam.

Dr Ho menambah, kesinambungan daripada operasi yang dijalankan dengan jayanya tahun lalu, Operasi Premis Makanan Bersih diteruskan lagi pada 2015.

“Bagi operasi tahun ini, selain menjalankan pemeriksaan premis makanan, pemeriksaan ke atas serbuk teh yang digunakan oleh premis makanan yang diperiksa turut dilakukan.

“Sekiranya dipercayai bahawa teh yang digunakan di premis makanan tersebut mengandungi bahan pewarna, baki semua serbuk teh berkenaan di premis tersebut akan disita mengikut peruntukan di bawah Seksyen 4 (1) (f), Akta Makanan 1983,” jelasnya.

Menurutnya, operasi bagi bahagian Kuching telah ditetapkan pelaksanaannya pada 5 hingga 9 Januari (bermula Isnin lalu).

“Sehingga 6 Januari, sejumlah 31 premis makanan telah diperiksa dan tiada kompaun dikeluarkan setakat ini,” jelasnya.

Oleh yang demikian, Dr Ho mengharapkan sokongan dan kerjasama erat daripada agensi terlibat bagi memastikan matlamat sebenar Operasi Premis Bersih pada tahun ini berjaya dicapai.

Selain itu, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai premis makanan yang melanggar peraturan seperti tidak menjaga kualiti dan keselamatan makanan, bolehlah memaklumkan kepada Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan, Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching.

Hadir sama pada sidang media operasi itu ialah Ketua Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Sabri Sahari.

Advertisement