Anda di sini

Projek sekolah dalam hospital sudah dilaksana

Advertisement

Oleh Jessica Jawing //

Bermula Ogos tahun lepas dengan seramai 150 pelajar mengikuti sesi pembelajaran selama tiga bulan

KUCHING: Pelaksanaan projek sekolah dalam hospital di Hospital Umum Sarawak (HUS) telah bermula pada Ogos tahun lepas dengan seramai 150 pelajar mengikuti sesi pembelajaran selama tiga bulan.

Pengarah HUS Dr Chin Zin Hing berkata, operasi sekolah berkenaan dikendalikan oleh sembilan guru berkelayakan daripada Kementerian Pendidikan untuk mengajar kanak-kanak yang juga pesakit hospital.

“Sejak mula dilaksanakan pada Ogos 2014 seramai 150 pelajar bagi sekolah dalam hospital HUS dan antara pelajar adalah terdiri daripada pelajar  sekolah rendah dan menengah.

“Mereka ini adalah pesakit yang memerlukan rawatan jangka panjang yang memakan tempoh masa berbulan dan ia bagi mengelakkan mereka daripada ketinggalan sesi persekolahan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Kempen Kembali ke Sekolah yang disempurnakan Konsultan Kanan Kardiologi Pusat Jantung HUS merangkap Ahli Lembaga Pelawat HUS Senator Datuk Dr Sim Kui Hian di HUS di sini, semalam.

Menurut Dr Chin lagi, sekolah dalam hospital itu berfungsi atau beroperasi hampir sama dengan sekolah biasa lain dengan setiap hari ada sesi pengajaran.

Tambahnya guru berusaha mengajar mengikut silibus sama seperti sekolah biasa namun bergantung kepada pesakit atau kanak-kanak yang mengikutinya.

“Mungkin ada di kalangan pelajar kita ini tidak terlalu sihat dan kita tidak boleh memaksa mereka, yang penting mereka tidak ketinggalan.

“Bagaimanapun bagi pelajar yang tidak mampu turun ke bilik kelas (premis) guru akan ke wad untuk mengajar sementara bagi mereka yang mampu turun, mereka akan berada di kelas,” katanya sambil memberitahu bahawa kos operasi sekolah dalam hospital ditanggung oleh hospital sendiri.

Sementara itu Dr Sim berkata projek sedemikian sememangnya dialu-alukan kerana ia bukan sahaja mengelakkan pesakit ketinggalan pendidikan tetapi dari segi aspek emosi dan mental mereka.

Jelasnya dengan adanya sesi kelas itu, pesakit tidak tertumpu kepada penderitaan yang mereka alami tetapi persekitaran persekolahan.

“Sehubungan itu kami mengalukan kerjasama daripada orang perseorangan, pertubuhan bukan kerajaan dan juga ahli perniagaan supaya bersama menyumbang kepada hospital terutama dalam projek seperti ini.

“Ini kerana, HUS adalah hospital komuniti dan ia pastinya akan berbalik kepada komuniti juga dan memerlukan sokongan dari luar,” katanya.

Beliau menjelaskan, untuk mengendalikan projek komuniti sedemikian, ia tidak bergantung semata-mata kepada kakitangan hospital, jururawat atau doktor tetapi semua lapisan masyarakat.

Kempen Kembali Ke Sekolah atau ‘Love in Stationery’ adalah anjuran Koperasi Pekerja Kesihatan Negeri Sarawak (KOPSihat) bersama Sam Fah Sdn Bhd untuk membantu kanak-kanak di HUS.

Sebanyak 200 pensil warna dan alat tulis lain disumbangkan semalam dan projek tahun kelima kedua-dua pihak itu juga menyaksikan penyampaian sumbangan alat tulis dan beg sekolah kepada pekerja kesihatan yang memerlukannya.

Advertisement