Anda di sini

Penduduk merungut jalan becak dan licin

Advertisement

Oleh Watt Zacchaeus //

Keadaan jalan menghubungkan lima rumah panjang masih tiada perubahan sejak 2002

BERLOPAK DAN BERLUBANG: Beginilah keadaan jalan yang digunakan penduduk dari lima buah rumah panjang yang tidak pernah diselenggara sejak 2002.

KANOWIT: Penduduk di lima rumah panjang di kawasan Machan iaitu Rumah Jonathan Gangga, Rumah Dim Mapang, Rumah Untol, Rumah Melaka Gana dan Rumah Shamsuddin Sumpeng masih merungut tentang keadaan jalan yang menghubungkan rumah panjang mereka yang masih tiada perubahan sejak 2002.

Menurut jurucakap penduduk yang enggan dikenali, jalan berkenaan menjadi becak dan licin ketika musim hujan.

“Jalan berlubang-lubang, sempit dan mempunyai banyak selekoh tajam. Pihak ladang kelapa sawit yang membina jalan itu dahulu pun tidak mementingkan pengguna jalan.

“Sehingga pokok sawit yang ditanam terlalu dekat dengan jalan. Sekarang ini cara hendak memperbesarkan atau melebarkan lagi jalan itu pun sudah menjadi tanda tanya kepada kami,” katanya kepada pemberita, semalam. Beliau berkata, jalan terbabit hanya dapat dilalui oleh kereta pacuan empat roda.

“Soalnya, berapa ramai kami di sini mampu membeli kereta jenis pacuan empat roda. Perjalanan melalui sepanjang jalan itu hanya mengambil masa kurang lebih 25 hingga 30 minit.

“Ini disebabkan seseorang pemandu hanya dapat menggunakan had kelajuan 20 atau 25 kilometer sejam,” ujarnya.

Jelas beliau, sekiranya jalan itu lebih selesa dan tidak berlubang-lubang mungkin masa diambil untuk sampai ke Rumah Shamsuddin hanya mengambil masa 15 minit sahaja.

“Kami pun berasa sedih apabila melihat ibu bapa menghantar anak-anak mereka dengan bermotosikal menggunakan jalan tersebut.

“Keadaan jalan sekarang lebih teruk sebab musim hujan,” tegasnya.

Jalan tersebut, ujarnya memudahkan lima buah rumah panjang terbabit untuk pergi ke pekan bagi menjual hasil tani mereka.

Pendapatan seisi keluarga pun bertambah kerana adanya jalan ini, katanya.

“Kami tidak lagi menggunakan bot untuk pergi ke pekan Machan. Apa yang lebih membimbangkan lagi ialah struktur Jambatan Sungai Maong.

“Jambatan ini mungkin bila-bila masa akan runtuh. Jambatan ini sudah uzur dan tidak diselenggara oleh pihak berkenaan. Paku-paku pun terkeluar dan membahayakan tayar kenderaan.

“Sekarang ini penduduk rumah panjang berasa tertinggal dari segi pembangunan jalan raya,” katanya.

Menurutnya, baru-baru ini jalan raya ke Ulu Machan yang mula dibina sekitar 2010 hampir siap.

“Bagaimanapun, kami masih tidak berpuas hati dengan tindakan pihak tertentu. Penyokong kuat Barisan Nasional (BN) diketepikan dan yang sebaliknya diutamakan,” tambahnya.

Advertisement