Anda di sini

11 kerusi baharu diharap bawa suara rakyat dengan lebih baik

Advertisement

TERTARIK: Kelihatan Sulaiman Ayub, 63, sedang melihat Pelan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Parlimen dan Negeri Sarawak di Pejabat Daerah Kuching semalam.

KUCHING: Sebelas kerusi baharu disyorkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang rata-ratanya meliputi kawasan luar bandar diharap dapat membawa suara rakyat dengan lebih baik pada masa depan.

Tinjauan Utusan Borneo semalam mendapati masyarakat menyambut baik cadangan tersebut yang melibatkan kawasan Batu Kitang, Stakan, Serembu, Triboh, Gedong, Kabong, Tellian, Selirik, Murum, Samalaju dan Long Lama.

Farid Razak, 31, berkata sebagai penduduk bandar baginya cadangan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan dilihat tepat.

Menurutnya, pertambahan itu perlu agar wakil rakyat yang memimpinnya kelak dapat membawa pembangunan kepada rakyat di situ dengan lebih baik.

“Menerusi 11 kerusi dicadangkan itu, diharap suara masyarakat luar bandar dapat dibawa dengan lebih berkesan yang mana sebelumnya ada antaranya tidak dapat didengari berikutan kekangan yang wujud terutama keadaan geografi negeri ini.

“Oleh itu, sebagai rakyat Sarawak sudah pasti kita berharap sahabat kita di luar bandar dapat berkembang seiring dengan kita di bandar dan dengan itu baharulah kita dapat sama-sama membangunkan negeri ini,” katanya.

Bersetuju dengan Farid, Mohd Safuan Musa, 34, berkata persempadanan semula kawasan-kawasan itu sesuai dengan keadaan Sarawak yang amat luas.

“Persempadanan semula ini penting kerana negeri ini sangat luas hinggakan wakil rakyat tidak mampu meninjau kawasan mereka dengan kerap dalam satu-satu masa.

“Oleh itu, 11 kerusi baharu itu diharap dapat membantu wakil rakyat yang terlibat untuk lebih fokus membangunkan kawasan masing-masing dengan lebih baik pada masa depan,” jelasnya.

Bagi Rugayah Faizal, 30, persempadanan semula dengan kawasan DUN dikecilkan supaya pembangunan mampu dirancang dengan lebih sistematik dan teratur terutama kawasan pinggir bandar dan pedalaman.

“Paling penting pada masa ini kita serahkan tugas penetapan mahupun bantahan syor tersebut kepada pihak yang bertanggungjawab.

“Cuma kita berharap agar apa juga keputusan yang dicapai dapat memberi kebaikan dan adil kepada semua rakyat negeri ini,” jelasnya.

Terdahulu, Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh Ahad dalam sebuah kenyataan memberitahu, Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya bagi negeri Sarawak adalah selama sebulan (5 Januari hingga 4 Februari).

Menurutnya juga, bantahan terhadap syor tersebut hanya boleh dilakukan oleh pihak yang dibenarkan Perlembangaan Persekutuan seperti kerajaan negeri atau mana-mana pihak berkuasa tempatan yang keseluruhan atau sebahagian termasuk dalam bahagian yang disyorkan.

Selain itu, turut dibenarkan membantah ialah 100 atau lebih nama yang ditunjukkan dalam daftar pemilih semasa bagi bahagian pilihan raya berkenaan.

“Setiap representasi membantah syor yang dicadangkan hendaklah dikemukakan secara bertulis kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri Sarawak di Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak, Tingkat 11, Bangunan Sultan Iskandar, Jalan Simpang Tiga dalam masa sebulan daripada tarikh penyiaran notis,” jelasnya.

Advertisement