Anda di sini

DBKU akan lancar Lencana Integriti

Advertisement

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) akan melancarkan Lencana Integriti bagi memastikan warga kerjanya sentiasa mempunyai nilai dan ciri integriti yang kukuh.

Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai berkata, lencana itu juga berperanan menunjukkan etika kerja warga DBKU semasa menjalankan tugas.

Malah menurutnya, ia juga mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh dan ditunjangi dengan budi pekerti yang luhur selaras dengan Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS).

“Dalam perasmian Majlis Agenda DBKU 2015 pada 10 Januari ini yang akan disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri (Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem), kita juga akan melancarkan Lencana Integiri.

“Lencana ini bertujuan memastikan setiap warga kerja DBKU sentiasa mempunyai nilai dan ciri integriti yang kukuh dalam diri mereka serta sentiasa mematuhi undang-undang dalam menjalankan tugas seharian,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini kelmarin.

Mengenai Majlis Agenda DBKU 2015, beliau memberitahu bahawa ia akan bermula pada 9 Januari ini di pekarangan tempat letak kereta Taman Sukma, Jalan Sultan Tengah di sini.

Pada majlis itu, katanya pelbagai program menarik diadakan sepanjang tiga hari penganjuran tersebut antaranya pameran, jualan, ekspo pendidikan, pertandingan, ceramah dan persembahan menarik menanti warga kota.

Selain itu, Abang Wahap memberitahu DBKU juga akan melancarkan ‘RemajaKU’ atau boleh juga dikenali sebagai Remaja Kuching Utara pada majlis perasmian nanti.

“Golongan remaja amat penting dalam mengukuhkan negara pada suatu masa nanti dan di tangan merekalah letaknya tanggungjawab besar untuk menentukan hala tuju negara pada masa depan.

“Golongan ini diberikan keutamaan sebagai pewaris negara dan kelangsungan kemajuan negara yang sedang kita kecapi sekarang sebab itu kita lancarkan ‘RemajaKu’ ini,” ujarnya.

Advertisement