Anda di sini

Warga PDRM lasak, amal gaya hidup sihat

Advertisement

Oleh Michael Ubam //

PEMANDANGAN SEGAR: Anggota rombongan ke Kapit menikmati kesegaran alam semula jadi.

WARGA Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sibu tidak lupa mengamalkan gaya hidup sihat dengan pelbagai program serta aktiviti sukan terutamanya berbasikal di sebalik rutin kerja mencegah jenayah dan menjaga ketenteraman orang awam di bandar Sibu.

Antara aktiviti masyarakat PRDM termasuk berbasikal (setiap minggu) dan hari keluarga iaitu kunjungan ke Pantai Belawai pada 27 Nov lepas.

Ketua Polis Balai Sentral ASP Herman Rakey berkata, mereka sering mengadakan aktiviti berbasikal bersama PDRM Sibu dan pengembaraan hutan (jungle trekking) sejak kebelakangan ini.

“Aktiviti seperti ini akan meningkatkan kesedaran terhadap betapa pentingnya kesihatan selain mengukuhkan tali silaturahin dalam kalangan kakitangan,” katanya.

Herman berkata, pihak PDRM di Sibu juga merancang untuk mengadakan pelbagai aktiviti yang akan melibatkan penyertaan orang awam untuk meningkatkan lagi hubungan antara polis dan masyarakat.

Sementara itu, program  berbasikal ke Belawai pada 27 Sept lepas melibatkan seramai 60 anggoata polis termasuk Ketua Polis Daerah ACP Mohd Kamal Kordi dan Timbalannya, Supt Martin Koo.

“Kami mengayuh basikal selama empat jam sejauh 110 kilometer dari Ibu Pejabat Polis Sibu sehingga ke Belawai di mana kami turut mengadakan sukaneka sempena menyambut hari keluarga,” jelasnya.

Katanya, secara mental, jarak dan faktor jalan lasak merupakan satu ujian terhadap kekuatan fizikal.

Bagi pengembaraan hutan di Kemuyang aktiviti tersebut diadakan pada 3 Okt, manakala berbasikal ke Sugai Bidut (17 Okt), berbasikal ke Bawang Assan dan Tanjung Ensurai (25 Okt), mendaki Gunung Bukit Kutu di Kuala Kubu Baru, Selangor (21 hingga 23 Nov), berbasikal ke Tanjong Manis (5 Dis) dan pengembaraan hutan di Kapit (6-7 Dis).

Semasa kunjungan ke Selangor baru-baru ini katanya, mereka juga mendaki setinggi 3,456 meter untuk sampai ke puncak Gunung Bukit Kutu dengan membawa 10 kilogram muatan (back pack) setiap orang.

“Pengalaman berkhemah di dalam hutan serta tidur dalam cuaca hujan merupakan kenangan yang indah untuk semua peserta yang mengikuti kunjungan itu,” tambahnya.

Untuk tahun depan, katanya, mereka akan merancang lebih banyak aktiviti menarik termasuk mendaki Gunung Kinabalu di Sabah pada Mac 2015.

Orang ramai yang berminat untuk menyertai aktiviti berkenaan diminta menghubungi Herman di talian 019-7174170 atau ASP Chiew Swoi Kee (013-8023998).

MENCABAR: Warga polis mendaki laluan sukar untuk menakluki Gunung Bukit Kutu.

BERSEDIA: Yeoh (dua kanan), Herman (tengah) bersedia untuk menjejalah Gunung Bukit Kutu, Selangor.

Advertisement