Anda di sini

Nicol tutup tirai 2014 dengan juarai Kejohanan Skuasy Wanita Dunia

Advertisement

GEORGE TOWN: Ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David menutup tirai penyertaannya dalam kejohanan peringkat antarabangsa tahun ini dengan meraih gelaran juara untuk kali kelapan dan dinobatkan sebagai pemain wanita nombor satu dunia 2014.

Kemenangan beliau dalam Kejohanan Skuasy Wanita Dunia di Kaherah, Mesir Sabtu lepas menjadi pelengkap kepada kemenangan yang diraihnya pada Sukan Komanwel dan Sukan Asia, selain dimahkotakan sebagai juara bagi enam kejohanan Jelajah Persatuan Skuasy Wanita (WSA) dan menerajui cabaran Malaysia untuk beraksi untuk julung kalinya di peringkat akhir Kejohanan Berpasukan Wanita Dunia.

Mengenai kemenangan yang diraihnya pada Kejohanan Skuasy Wanita Dunia di Kaherah, Nicol berkata ia antara kejayaan yang tidak akan dilupainya kerana terpaksa mengejar mata dalam set keempat untuk mengalahkan lawannya.

“Ketika itu, keazaman yang ada dalam minda saya ialah untuk mendapatkan mata terakhir kerana saya tahu saya telah bekerja keras dan oleh itu perlu menang dan tidak mahu peluang yang ada terlepas dengan mudah.

“Kepercayaan yang diberi keluarga dan rakan sepasukan menjadi pendorong utama bagi saya untuk mengatasi semua halangan. Ia sesuatu yang amat berharga dan saya gembira kerana usaha gigih saya membuahkan hasil”.  — Bernama

Advertisement