Anda di sini

Kejayaan Afif, Arif harus dicontohi: Fazaruddin

Advertisement

KUCHING: Presiden Balapan dan Padang Axis Petra Jaya, Fazaruddin Abdul Rahman melahirkan rasa bangga dengan pencapaian cemerlang dua ahli kelab berkenaan, Mohd Arif Zulhelmi Alet dan Mohd Afif Zulhusmi semasa menyertai Sukan Universiti Asean (AUG) ke-17 di Palembang, Indonesia dari 10-20 Disember 2014.

Menurutnya, kejayaan dua beradik itu menghadiahkan pingat untuk negara pada kejohanan antarabangsa itu harus dicontohi atlet-atlet muda lebih-lebih dari kalangan Bumiputera yang menceburi sukan tersebut.

“Selaku presiden, saya merakamkan rasa gembira dan bangga dengan kejayaan Afif dan Arif menyumbang pingat untuk negara di arena antarabangsa.

“Pencapaian mereka akan menjadi inpirasi dan harus dicontohi atlet muda dari kalangan Bumiputera agar terus berusaha memburu kejayaan dalam sukan ini,” katanya semalam.

Arif mencuri tumpuan apabila berjaya mempertahankan emas yang dimenanginya di Laos pada 2012 dalam acara 400 meter.

Beliau mencatat masa terpantas 47.74 saat untuk menggondol emas.

Pemenang emas SUKMA 2014 di Perlis itu turut menghadiahkan perak buat negara apabila turun dalam acara 4×400 meter.

Manakala abangnya, Afif menyumbang gangsa dalam acara 4×100 meter.

“Harapan saya agar kedua atlet ini akan terus meningkatkan usaha, lebih-lebih Arif yang telah tersenarai dalam skuad negara untuk bertanding pada Sukan SEA depan.

“AUG ini menjadi pentas terbaik bagi Arif memanaskan badan sebelum ke kejohanan tersebut dan bagi pihak kelab saya berharap beliau dapat mencatat kejayaan yang lebih besar di Sukan SEA nanti,” tambah Fazaruddin.

Advertisement