Anda di sini

Snuker ‘dianaktirikan’

Advertisement

Oleh Andy Sabang //

SDBSA kecewa tiada inisiatif membangunkan sukan snuker di Sarawak

SIBU: Penasihat Persatuan Snuker dan Billard Bahagian (SDBSA) Sibu, Danny Wong melahirkan rasa kecewa rentetan ketiadaan inisiatif dalam membangunkan sukan itu.

Kekecewan dilontarkanya kepada Persekutuan Sukan Snuker dan Billard Sarawak (SBSSF) kerana gagal melahirkan program pembangunan bagi membantu menaik taraf sukan berkenaan.

Danny berkata, akibatnya taraf kemahiran pemainpemain tidak berkembang dan akhirnya menjadikan sukan itu terus kekal di takuk lama.

“SBSSF adalah badan pentadbir sukan ini dan jika badan ini tidak melakukan sebarang inisiatif, apa lagi yang boleh kita (SDBSA) boleh lakukan,” katanya.

Danny berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai standard pemain snuker ketika menyertai Kejohanan Snuker Tertutup Sarawak.

Katanya, beliau telah berkali-kali meminta SBSSF mencari inisiatif baharu terutamanya membantu meningkatkan taraf permainan pemain-pemain snuker muda.

“Bagaimanapun, semua usaha dan kerja keras SDBSA dikemukakan untuk membantu merevolusikan sukan itu bukan sahaja ditolak malah sebahagian besarnya diabaikan,” tambah beliau.

Danny turut menjelaskan bahawa snuker merupakan satu-satunya sukan di negeri ini yang tidak mempunyai program pembangunan di peringkat belia.

Lebih teruk sukan snuker merupakan satu-satunya sukan masih belum melahirkan pemain-pemain bintang yang disegani.

“Saya telah berkecimpung dalam sukan ini lebih 50 tahun dan saya percaya tidak ada sebab sukan snuker tidak dapat berkembang di negeri ini, seandainya SBSSF sanggup memberi bantuan selain mempunyai pelan pembangunan,” jelas beliau.

Bagaimanapun, terserah kepada SBSSF melakukan sesuatu untuk menjadikan sukan ini kekal relevan.

Danny menjelaskan, taraf pemain pada kejohanan itu baru-baru ini telah mencapai satu dimensi baharu tetapi masih terdapat ruang penambahbaikan.

“Para pemain berlatih dengan sebaik-baiknya biarpun terpaksa menggunakan perbelanjaan sendiri untuk mengharungi pertandingan yang lebih besar di luar Sarawak.

“Semangat itu harus dihargai dan SBSSF perlu berusaha mencari jalan membantu mereka seperti menganjurkan kejohanan serta menaja pemain-pemain dari segi kos perjalanan,” katanya.

Advertisement