Anda di sini

Pelajar cemerlang ambil serius semua peperiksaan

Advertisement

Oleh Hamimi Kassim

 

KEBANGGAAN KELUARGA: Niqa (dua kanan) bersama Azman (dari kanan), adiknya Najaa Arysaa, 9, Siti dan Areef Danish, 6, menunjukkan keputusan 10A semasa pengumuman PT3 di SMK Green Road di Kuching, semalam.

KUCHING: Walaupun segelintir pelajar berpendapat ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) kurang penting, namun Niqa Afiqah Mohammad Azman, 15, yang bercita-cita menjadi doktor tidak berpendapat sedemikian.

Baginya, tidak kira apa pun ujian di sekolah, cita-citanya merupakan pendorong utamanya untuk berusaha bersungguh-sungguh termasuk mencapai keputusan 10A dalam PT3 yang diumumkan semalam.

“Walaupun ada pelajar berpendapat PT3 tidak penting dan peperiksaan seterusnya seperti SPM dan STPM masa untuk membuktikan kebolehan sebenar, saya tidak bersetuju kerana jika tidak bermula dari awal pasti sukar untuk kita berjaya pada kemudiannya,” katanya.

Niqa merupakan salah seorang daripada 15 calon PT3 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Green Road yang mendapat keputusan A bagi semua mata pelajaran yang diambil.

Menurut anak kedua daripada empat beradik itu, dorongan daripada pihak sekolah, ibu bapa serta keluarganya turut menjadi faktor kejayaannya.

Bukan itu sahaja, pendekatan belajar dari awal lagi dan memberi tumpuan di kelas adalah kunci utama kejayaannya sehingga berjaya memperolehi keputusan cemerlang.

“Untuk mendapat keputusan ini (10A) bukanlah mudah dan saya berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya.

“Saya juga fokus ketika guru mengajar dan ulang kaji semula pelajaran bila pulang ke rumah,” jelasnya.

Sementara itu, bapanya Mohammad Azman Ahmad, 48 dan ibunya Siti Mona Elias, 48, ketika ditemui gembira dengan kejayaan yang diperoleh anaknya.

“Memandangkan ini merupakan tahun pertama PT3 diperkenalkan, pastinya sukar bagi mereka kerana banyak perkara baharu perlu mereka terima dan Niqa sendiri sangat risau pada mulanya.

“Syukur dengan bantuan guru serta usaha kerasnya, akhirnya dia dapat menerimanya sehingga berjaya mendapat keputusan cemerlang,” katanya.

Advertisement