Anda di sini

Lebih ramai penghibur diseru sertai PRISM

Advertisement

Oleh Jessica Jawing //

Dapatkan royalti untuk lagu-lagu yang dipersembahkan kepada khalayak ramai: Anuar

KUCHING: Lebih ramai penghibur termasuk penyanyi dari Sarawak dan Sabah disaran untuk menyertai Performers Rights & Interest Society of Malaysia (PRISM) bagi mendapatkan manfaat kutipan royalti mereka.

Pengerusi PRISM Anuar Dahlan berkata, ramai dalam kalangan artis yang sudah mempunyai bahan rakaman di Sarawak layak mendapat royalti melalui lagu mereka yang disiarkan menerusi stesen radio tempatan.

“Kita amat berharap para penghibur dari kedua-dua negeri, Sabah dan Sarawak dapat menikmati kutipan royalti persembahan awam mereka.

“Sekiranya persembahan muzik mereka dipersembahkan pada umum, misalnya melalui pusat hiburan, festival dan konsert, atau siaran seperti radio dan televisyen, mereka layak mendapat royalti,” ujarnya.

Selain itu, katanya, royalti juga layak diberi melalui dedikasi lagu mereka di stesen radio tempatan atau melalui persatuan pengguna seperti pihak hotel, pemilik hotel, persatuan kompleks, persatuan peruncit dan banyak lagi.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada majlis penyerahan keahlian kepada beberapa ahli Persatuan Penyanyi Anak Sarawak (PPAS) yang dihadiri Naib Presidennya Datin Senorita Linang dan Setiausahanya Richmond Allan di sini, semalam.

Menurut Anuar, proses pembayaran royalti dibuat mengikut formula agihan iaitu jumlah lagu yang dipersembahkan dan berdaftar dengan PRISM.

Malahan, sekiranya lagu-lagu artis yang berdaftar itu dimainkan di Semenanjung Malaysia, mereka juga akan mendapat royalti daripada perkara berkenaan, katanya.

“Sementara itu, sebagai rancangan jangka panjang PRISM, dalam masa terdekat kami akan memperkenalkan insurans kepada ahli-ahli kami sebagai satu lagi manfaat untuk mereka,” katanya.

Di Sarawak kini hanya kira-kira 100 artis yang mendaftar dengan PRISM termasuk 15 artis yang menerima keahlian semalam melalui PPAS.

PRISM bukan persatuan tetapi organisasi pemungut royalti melalui persembahan awam penghibur terdiri daripada pemuzik, penyanyi dan artis lain terutamanya yang memiliki bahan rakaman.

Bagi yang berminat untuk menjadi ahli PRISM, mereka boleh menghubungi terus ahli Lembaga Pengarah PRISM Berhad Mac Ruhayu Mohd Nor menerusi talian 017-2084174 atau 019-3637095 atau e-mel [email protected].

Advertisement