Anda di sini

Adat, budaya timur perlu disemai semula

Advertisement

KUCHING: Adat ketimuran yang kian terhakis dalam kalangan generasi baharu perlu disemai semula, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Dr Abdul Rahman Junaidi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai memberitahu generasi muda masa kini khususnya di bandar lebih mudah terikut-ikut dengan budaya barat yang dilihat tidak sesuai dengan budaya masyarakat di negara ini.

“Sebab itu, kita menganjurkan Karnival Sukan Kampung Sourabaya Ulu bagi mengisi masa lapang anak-anak muda pada musim cuti persekolahan ini supaya mereka tidak terjerumus dalam gejala negatif,” ujarnya pada majlis penutupan karnival itu di padang serba guna Kampung Sourabaya Ulu di sini, semalam.

Dr Rahman berkata, lebih membimbangkan generasi muda di kawasan bandar tidak dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran kemajuan pembangunan yang dialami oleh mereka.

Tegasnya, ia menyebabkan generasi muda mudah terpengaruh dengan budaya barat yang lebih kepada kebebasan pergaulan dan hiburan melampau sehingga bertentangan dengan adat ketimuran yang diamalkan generasi terdahulu.

Justeru, beliau meminta kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) khususnya kampung yang terletak di bandar agar menyusun atur program bermanfaat kepada belia di kawasan masing-masing.

“Kerjasama ini akan membolehkan kita bersama-sama menganjurkan program atau aktiviti kepada masyarakat kampung yang turut melibatkan penyertaan dalam kalangan anak muda,” tambahnya.

Menyentuh mengenai penganjuran karnival itu, Dr Rahman berkata, ia sebagai platform menyatukan masyarakat kampung di kawasan itu.

Pada masa sama, katanya ia juga bagi mencungkil bakat dalam kalangan anak muda dalam bidang sukan yang diminati.

Pada karnival yang menampilkan pelbagai pertandingan seperti dart, mewarna dan futsal itu, Dr Rahman turut menyampaikan sumbangan persekolahan kepada beberapa pelajar di kawasan tersebut.

Advertisement