Anda di sini

Tiga cedera diserang 10 lelaki di George Town

Advertisement

GEORGE TOWN: Tiga lelaki bukan sahaja mengalami kecederaan selepas diserang sekumpulan 10 lelaki, malah motosikal seorang daripada mereka turut dibakar dalam kejadian di Jalan Kelawai di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, tiga lelaki berusia lingkungan 20-an itu sedang menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Tanjung Tokong.

Jurucakap polis berkata mereka baru selesai makan di Padang Kota.

“Sekumpulan lelaki memintas perjalanan mereka ketika berada di Jalan Kelawai sebelum mereka dipukul dengan topi keledar.

Mangsa berjaya melarikan diri namun terpaksa meninggalkan sebuah daripada motosikal mereka.

“Setengah jam kemudian, mereka kembali ke tempat kejadian dan mendapati motosikal yang ditinggalkan itu telah terbakar dan apinya sedang dipadam anggota bomba,” katanya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalatrash mengesahkan kejadian dan berkata pihaknya sudah mengenal pasti beberapa lelaki terbabit yang seorang daripada mereka dicam oleh mangsa. — Bernama

 

Advertisement