Anda di sini

Rasuah penjawat awam masih terkawal

Advertisement

Program kesedaran dan pendidikan intensif diyakini mampu kurangkan amalan tersebut

GEORGE TOWN: Perbuatan rasuah membabitkan penjawat awam di negara ini masih terkawal berikutan pelbagai program kesedaran dan pendidikan intensif diadakan bagi membanteras kegiatan tidak sihat itu, kata Timbalan Pengarah (Sektor Sosiobudaya) Institut Integriti Malaysia Anuar Ahmad.

Beliau berkata pihaknya yakin dengan penganjuran pelbagai program kesedaran secara berterusan, perbuatan rasuah melibatkan golongan itu akan berjaya dikurangkan.

“Kalau kita lihat daripada data SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) hanya sebilangan kecil penjawat awam yang terlibat dengan rasuah…mengambil kira bilangan penjawat awam di negara ini kira-kira 1.5 juta orang. Jadi, masih lagi terkawal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Seminar dan Dialog Membanteras Rasuah Tanggungjawab Bersama sempena Hari Anti Rasuah Sedunia 2014, di sini semalam.

Katanya, pihaknya turut melaksanakan program intensif khas untuk jabatan dan agensi kerajaan yang dilihat cenderung menerima rasuah iaitu Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Imigresen dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Anuar berkata menurut kajian yang dijalankan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 2006, kebanyakan yang terlibat dengan rasuah adalah kumpulan penguatkuasaan, golongan muda yang baharu bekerja dan lelaki.

Beliau berkata kajian itu juga menunjukkan seba-nyak 38 peratus penjawat awam di negara ini yang dibelenggu dengan masalah hutang cenderung dengan gejala rasuah.

Katanya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam aktiviti kesedaran rasuah juga perlu bertindak sebagai sebuah pertubuhan yang bebas daripada pengaruh politik bagi mencapai agenda mengurangkan kadar rasuah di negara ini.

“Kita mengambil contoh satu badan pemantau NGO di Denmark yang bebas dan aktif sehingga Denmark berjaya menjadi sebuah negara yang tidak mempunyai masalah rasuah di dunia kerana aktiviti berterusan yang dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Keselamatan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr P. Sundramoorthy berkata badan profesional di negara ini seperti Institut Integriti Malaysia dan SPRM perlu menjalankan audit terhadap pelbagai peraturan yang dikenakan bagi menutup kelemahan dan ‘peluang’ berlakunya rasuah.

“Penilai atau auditor perlu melakukan pemerikaan terhadap mekanisme diamalkan organisasi, kerajaan atau sektor swasta. Prosedur Operasi Standard digunakan orga-nisasi berkenaan mungkin telah mewujudkan ‘peluang’ untuk berlakunya rasuah,” katanya. — Bernama

Advertisement