Anda di sini

Kanak-kanak dua tahun maut dihempap televisyen

Advertisement

Televisyen itu berukuran 29 inci dengan berat kira-kira 33kg

IPOH: Seorang kanak-kanak perempuan maut akibat dihempap sebuah televisyen berukuran 29 inci di kuarters Kilang PT Palm Oil Mill, Batu 7, Jalan Changkat Jong di Teluk Intan, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata sebelum kejadian berlaku pada jam 11.15 malam, mangsa Siti Norain Maisarah Romli, 2, sedang tidur bersama-sama ibunya di ruang tamu kuarters berkenaan.

“Ayah mangsa yang berada di dalam bilik tidur utama tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kuat di ruang tamu, kemudian bergegas keluar dan mendapati televisyen itu jatuh menghempap mangsa yang berada bersebelahan isterinya,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata pasangan suami isteri itu kemudian membawa anak mereka ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan namun apabila tiba di bahagian kecemasan, mangsa didapati tidak sedarkan diri.

Pihak hospital kemudian mengesahkan mangsa yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik itu telah meninggal dunia, katanya.

Mohd Shuhaily berkata televisyen itu berukuran 29 inci dengan berat dianggarkan 33 kilogram.

“Siasatan mendapati kabinet televisyen tersebut telah reput di bahagian bawah dan ia hanya dilapik dengan kayu manakala lantai ruang tamu juga tidak rata,” katanya.

Beliau berkata hasil bedah siasat mengesahkan mangsa mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala.

“Pemeriksaan ke atas badan kanak-kanak itu juga tidak menemui apa-apa kesan penderaan atau unsur jenayah serta perbuatan khianat,” katanya. — Bernama

Advertisement