Anda di sini

Meraikan kepelbagaian masyarakat harus bermula dari rumah: MoMs

Advertisement

PETALING JAYA: Mendidik generasi masa kini untuk meraikan kepelbagaian kaum, budaya dan agama harus bermula dari rumah, demikian pendirian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Inisiatif Ibu Warga Malaysia (MoMs).

Seorang pengasas MoMs Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj berkata peranan ibu bapa amat penting dalam menyemai nilai positif kepada anak-anak merangkumi aspek hormat-menghormati, toleransi dan seterusnya ‘menikmati’ kepelbagaian masyarakat Malaysia.

Bercakap pada majlis pelancaran dan memperkenal MoMs di sini semalam, beliau berkata ibu bapa kini dilihat terlalu bergantung kepada sesebuah organisasi seperti sekolah atau badan kerajaan dalam mendidik anak-anak memahami dan menerima keunikan kaum lain.

“Namun, inisiatif sendiri perlu diambil terutama oleh kaum ibu untuk memastikan anak mereka bukan sahaja menerima, malah meraikan perbezaan dan kepelbagaian seperti menggalakkan mereka melakukan aktiviti di luar rumah bersama kanak-kanak berlainan kaum dan agama,” katanya.

Dr Harlina menarik perhatian bahawa inti pati masyarakat majmuk Malaysia kini dilihat dicabar segelintir pihak sehingga menimbulkan syak wasangka dan ketidakpercayaan yang boleh menjurus kepada perpecahan.

Diasaskan 21 wanita pelbagai latar belakang, pendidikan, etnik, agama dan budaya, MoMs memfokuskan kepada semua bentuk usaha pendidikan, aktiviti dan inovasi yang menjurus kepada penyemaian kemahiran dalam mengendalikan kepelbagaian dalam kalangan warga Malaysia terutama generasi muda dan kanak-kanak. — Bernama

Advertisement