Anda di sini

Jagaan anak harus dititikberatkan untuk ‘Wanita Kembali Berkerjaya’

Advertisement

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mencadangkan agar penjagaan anak-anak dititikberatkan oleh majikan apabila program ‘Wanita Kembali Berkerjaya’ dilaksanakan.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata ini kerana seorang wanita itu membuat keputusan untuk kembali bekerja apabila anak-anak telah mencapai umur antara tiga atau empat tahun ke atas dan sentiasa memikirkan aspek jagaan anak-anak.

“Tugas kami ialah menyediakan perkhidmatan sokongan seperti jagaan kanak-kanak dan perkara lain yang diperlukan apabila ibu kembali bekerja,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan EVE (Empowering Venus Everywhere) Summit 2014 di kementeriannya di sini semalam.

Katanya buat masa ini pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan Talent Corp iaitu agensi yang bertanggugjawab melaksanakan program berkenaan untuk melihat mekanisme yang akan atau boleh dilakukan untuk menggalakkan wanita menyertainya.

Program ‘Wanita Kembali Berkerjaya’ adalah di bawah strategi Memartabat Peranan Wanita yang dibentang dalam Bajet 2015 bertujuan membolehkan wanita profesional kembali ke pasaran pekerjaan berdasarkan kelayakan profesional.

Rohani berkata, beliau juga akan mencadangkan supaya waktu kerja untuk wanita yang kembali bekerja tidak seperti kakitangan lain dan lebih fleksibel.

“Mungkin wanita yang hendak bekerja itu tidak mahu waktu kerja macam biasa iaitu dari jam 8 pagi hingga 5 petang setiap hari, mungkin boleh dilaksanakan separuh hari atau ada hari bekerja di pejabat dan ada hari bekerja dari rumah,” katanya.

Sementara itu mengenai Eve Summit 2014, ia kali kedua diadakan dan melibatkan 180 graduan wanita daripada pelbagai institusi pengajian tinggi bagi membincangkan mengenai prospek karier selepas tamat belajar. — Bernama

Advertisement