Anda di sini

Daisy Mullins pelanggan bertuah ke-500 Paradesa Borneo

Advertisement

KUCHING: Pengayuh dari United Kingdom, Daisy Mullins dinobat sebagai pelanggan bertuah ke-500 oleh syarikat jelajah basikal profesional pertama di Sarawak, Paradesa Borneo pada satu majlis pengumuman nama pelanggan bertuah itu, semalam.

Acara pengumuman nama pelanggan bertuah itu diadakan di pejabat Paradesa Borneo (dimiliki oleh One Wayang Tours Sdn Bhd) yang terletak di Wayang Street, bersebelahan Tebingan Kuching.

Pengasas Paradesa Borneo Chu Juan Chuan berkata, dengan slogan syarikatnya iaitu ‘Travel Globally, Cycle Locally’ yang mula beroperasi pada Disember tahun lalu, pihaknya telah menerima tempahan daripada 500 pelanggan sama ada menerusi atas talian mahupun yang singgah ke premisnya.

“Kebanyakan pelanggan adalah dari Eropah yang dibenarkan untuk memilih enam rangkaian siri jelajah basikal perintis.

“Rangkaian jelajah itu merangkumi berbasikal dalam kawasan bandar termasuk kawasan warisan dan perkampungan.

“Justeru, kami rasakan adalah bertepatan kami menobatkan pelanggan bertuah ke-500 kami bagi menghargai penyertaan pelanggan yang telah memilih perkhidmatan Paradesa selama kami mula beroperasi sejak 11 bulan lalu,” katanya.

Dalam acara sambutan itu, Paradesa Borneo juga mengambil kesempatan melancarkan ‘Home Cook Dinner’ dan ‘Sunset Kampong Tour’ yang baharu secara rasmi disempurnakan oleh Setiausaha Politik Ketua Menteri Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali sekali gus menyampaikan cenderamata kepada pelanggan bertuah ke-500 itu.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Bike Ride Paradesa Borneo di premisnya, di sini sebelum melepaskan peserta yang menyertai ‘Sunset Kampong Tour’, semalam.

Siri jelajah itu, katanya turut mendapat perhatian umum terutama menerusi media sosial seperti TripAdvisor dan Facebook.

“Cabaran jelajah berbasikal ‘Sunset Kampong Tour’ dan ‘Home Cook Dinner’ merupakan siri jelajah berbasikal perintis yang ketujuh yang dipromosikan oleh Paradesa dan ia merupakan jelajah yang romantik melalui kampung-kampung.

“Kemudian, ia juga diikuti dengan aktiviti memasak makanan makan malam sebelum kembali ke Paradesa melalui pelayaran sampan pada waktu terbenam matahari,” jelasnya.

Jelas Chua, pihaknya tidak pernah kenal erti penat untuk memperkenalkan cabaran baharu dan menarik kepada setiap pengunjung ke negeri ini.

“Kejayaan penganjuran jelajah berbasikal yang pernah diadakan dahulu menjadi inspirasi kepada kami untuk memperkenal siri jelajah basikal lebih banyak lagi pada masa akan datang.

“Kami juga berharap kami dapat menyumbang kepada industri pelancongan di Sarawak terutama mempromosi Sarawak yang hijau, sihat dan mencabar menerusi produk jelajah basikal kami,” katanya.

‘Sunset Kampong Tour’ yang diadakan semalam, menyaksikan seramai kira-kira 20 pengayuh termasuk Daisy, kakitangan Paradesa serta anggota polis turut serta dalam sesi kayuhan ke kampung-kampung.

Antara kampung yang menjadi laluan kayuhan peserta ialah bermula dari Paradesa, Kampung Masjid, Kampung Kudei, Kampung Sungai Maong, Jambatan Satok, Kampung Tupong Hulu, Kampung Merdeka, Kampung Tanjung dan Pangkalan Kampung Lintang sebelum menggunakan sampan terus ke Pangkalan Haji Omar.

Orang ramai yang ingin mengetahui lanjut mengenai syarikat ini bolehlah menghubungi Law Seng Kwang di talian 010-9824875 atau e-mel ke alamat: [email protected].

Advertisement