Anda di sini

Pertembungan dua gergasi golf Sarawak, Sabah

Advertisement

KUCHING: Kejohanan golf tahunan Piala SGA antara Persatuan Golf Sarawak dan Persatuan Golf Sabah akan diadakan di Kelab Golf Sarawak (KGS) bermula hari ini hingga 28 November ini dengan pemain- pemain handalan dari kedua-dua negeri termasuk pemain remaja akan mengambil bahagian.

Sabah selaku juara bertahan akan diketuai Pengurus Pasukan, Peter Wong Lieng Kion dan Peter Tan selaku kapten pasukan.

Manakala Sarawak dibimbing pengurusnya, Wong Ing Kee, Jimmie Teo selaku ketua pasukan sambil dibantu James Wong.

Kejohanan tahun ini adalah yang ke-14 bagi kedua-dua pasukan dengan Sabah memenangi gelaran sebanyak lapan kali iaitu pada 2001, 2002, 2005, 2007, 2009, 2011, 2012 dan 2013.

Manakala Sarawak memenangi kejohanan itu pada 2003, 2004, 2006, 2008 dan kali terakhir pada 2010.

Kejohanan tersebut diadakan bagi memupuk hubungan baik antara persatuanpersatuan golf dari Sarawak dan Sabah di samping menyediakan peluang kepada pemain golf tempatan dari pelbagai kelab golf yang terdapat di kedua-dua negeri bersaing antara satu sama lain.

Untuk edisi kali ini, ia berjaya menarik perhatian ramai pemain-pemain remaja yang ingin bersaing untuk pasukan masing-masing.

Antara pemain bakal mencuri tumpuan ialah Lim Beng Kiat dari Miri berusia 14 tahun dan yang paling muda mewakili Sarawak manakala Casper Loh merupakan pemain paling muda dari Sabah selepas menyambut ulang tahun ke- 15 pada 22 November lalu.

Sarawak juga diwakili dua pemain muda iaitu Immanuel Daud yang berusia 15 tahun dan Aaron Lau Zhun Min berusia 16 tahun.

Antara bekas pemain Sabah yang pernah beraksi pada kejohanan Piala SGA lalu termasuk Ben Leong dan Nicholas Fung yang kini bergelar pemain profesional.

Kejohanan ini dijalankan mengikut format Piala Ryder yang terkenal di Amerika Syarikat dan pasukan yang menang akan bertanding pada kejohanan tahunan Piala Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA) tahun depan.

Untuk tahun ini, Sarawak turut diwakili empat atlet bayangan SUKMA 2016 iaitu Aziel Teo, Lim Beng Kiat, Immanuel Daud dan Aaron Lau Zhun Min.

Mereka akan bermain bersama- sama dengan juara golf tempatan, Lee Ka Tung serta tiga saudaranya, Lee Kah Tiong, Lee Kah Ching dan Lee Kah Ming; Mohd Lokman, Maggit Semong, Lau Chin Leong, Wong Tung Ann, Ling Soon Kiong dan John Ling.

Sabah pula diwakili pemain remaja seperti Fazley Ahmad Chua, Loh Casper, Suzairi Iqmah dan Muhammad Firdaus yang akan bergabung dengan Duin Etin, Jordon Mobijohn, Safarudin Abidin, Jason Wong, Alex Lau, Chua Poh Guan, Mitchell Steel, Raymond Lai dan Lee Kim Huat.

Para peserta akan bersaing dalam acara ‘6 Foursome’ pagi ini dan dalam acara ‘6-Four Ball’ di sebelah petang nanti.

Sementara itu, ketua pengadil kejohanan Ting Bang Kong kelmarin menyatakan musim hujan yang melanda kini boleh menjejaskan kelancaran pertandingan tetapi beliau melahirkan keyakinan semua perlawanan dapat dihabiskan pada hari terakhir.

Advertisement