Anda di sini

Penswastaan Liga-M pada 2016

Advertisement

KUALA LUMPUR: Penswastaan Liga Malaysia (Liga-M) pada tahun depan ditangguh sehingga 2016, menurut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kelmarin.

Presidennya, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah rancangan itu terpaksa ditangguhkan berikutan setiap persatuan dan kelab perlu memenuhi kriteria utama iaitu wajib mendapatkan lesen seperti dilaksanakan oleh liga profesional di luar negara.

“Kami masih berbincang tentang penswastaan Liga-M ini…beri kami masa dan saya akan umumkan nanti. Mungkin penswastaan Liga-M dilaksanakan pada 2016.

“Dari aspek lain pula, kita tidak mahu memberi tekanan kepada kelab dan persatuan negeri,” titah baginda pada sidang media majlis penyampaian cek penajaan oleh Bank Islam Berhad (Bank Islam) kepada FAM di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.

Mengenai masalah pembayaran gaji pemain, Tengku Abdullah bertitah pihaknya sedang meneliti mekanisme baharu bagi membantu persatuan negeri menyelesaikan masalah itu.

“Dahulu, saya pernah meletakkan peraturan gaji siling kepada pemain dan memang kita boleh mengawal masalah pembayaran gaji ketika itu. Kami masih mengkaji mekanisme bersesuaian seperti diguna pakai oleh negara Eropah.

“Kita selalu nasihat persatuan dan kelab berhubung isu pembayaran gaji ini sebab kita tidak mahu timbul masalah tunggakan gaji, kalau tidak mampu jangan menjanjikan ‘bulan dan bintang’ tetapi hakikatnya tidak mampu hendak bayar,” titah baginda.— Bernama

Advertisement