Anda di sini

SMK Penrissen No.1 juara Hoki Dalam Dewan Betong

Advertisement

KAMI JUARA: Pasukan SMK Penrissen No.1 bersama Haidel pada akhir kejohanan tersebut.

BETONG: Pasukan Hoki Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Penrissen No.1 dari Kuching juara Kejohanan Hoki Dalam Dewan Terbuka Betong setelah menumpaskan Gertaq juga dari Kuching dengan 3-2 pada aksi kategori terbuka di Stadium mini Betong di sini malam kelmarin.

Perlawanan sengit menyaksikan kedua-dua pasukan berbalas serangan dan SMK Penrissen No.1 mendahului 1-0 babak pertama namun babak kedua menyaksikan Gertaq menyamakan kedudukan.

Tersentak dengan jaringan penyamaan, SMK Penrissen No.1 menggandakan asakan dan berjaya mendahului untuk jaringan kedua. Gertaq menguasai perlawanan dengan mudah menyamakan kedudukan 2-2.

Namun lewat pertembungan, SMK Penrissen No.1 baharu sahaja beraksi pada kejohanan Hoki Remaja Dalam Dewan Kebangsaan di Perak (tempat ketiga) memanfaatkan pengalaman mereka menjaringkan gol kemenangan (3-2) hingga tamat permainan.

Dengan kemenangan itu, SMK Penrissen No. 1 membawa pulang hadiah wang tunai RM500 serta piala dan medal manakala Gertaq menerima wang tunai RM300 serta piala dan medal.

Tempat ketiga bersama menerima wang tunai RM100 serta medal ialah pasukan Warrior dan SMK Sebauh B.

Bagi kategori bawah 13 tahun menyaksikan SMK Datuk Patinggi Kedit Betong mengalahkan SMK Sebauh dengan 3-2.

SMK Datuk Patinggi Kedit membawa pulang wang tunai RM300 serta piala dan medal manakala SMK Sebauh dengan wang tunai RM200 serta piala dan medal.

SMK Beladin dan MRSM di tempat ketiga bersama menerima wang tunai RM100 serta medal.

Hadiah-hadiah disampaikan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Ir Haidel Heli.

Pengurus SMK Penrissen No.1, John Masion berkata latihan serius serta peranan dimainkan jurulatih dimanfaatkan oleh pemain-pemainnya membawa kejayaan kepada mereka.

“Kejayaan kami adalah usaha semua pemain memainkan peranan dan hasil bimbingan jurulatih serta kesinambungan latihan berterusan secara serius membantu menjulang piala ini.

“Selain itu, projek di sekolah berjaya menunjukkan hasil sehingga melahirkan pemain-pemain hoki berkaliber dan mampu membawa kejayaan kepada Sarawak,” katanya.

Sebanyak 12 pasukan bagi kategori terbuka dan lima pasukan bawah 13 tahun dari Kuching, Miri, Bintulu dan Betong menyertai kejohanan julung kali itu.

Sehubungan itu, Jawatankuasa Pembangunan Hoki Betong berusaha menganjurkan dua siri kejohanan tahun hadapan iaitu Terbuka Debak dan Terbuka Betong dan diharap mendapat sambutan menggalakkan.

Advertisement