Anda di sini

Project Park bukti keunggulan

Advertisement

Oleh Abang Ismail Abang Su’ud

JUARA: Pengurus pasukan dan pemain Project Park menerima hadiah daripada Zaiedy di Bintulu kelmarin.

BINTULU: Project Park muncul juara Piala Lea Sports Centre setelah menundukkan Twister 3-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Mini Bintulu, di sini lewat petang kelmarin.

Project Park bermula garang apabila seawal minit ke-11, ayam tambatannya, Faizal Sanu meledakkan gol sulung buat pasukannya menerusi sepakan penjuru kanan gawang yang gagal disekat penjaga gol lawan.

Twister mula bangkit untuk menyamakan kedudukan sekali gus berpeluang mengubah kedudukan namun tidak berhasil.

Situasi itu digunakan sepenuhnya oleh Project Park untuk mengasak kubu pertahanan Twister apabila sekali lagi Project Park melalui Shamsul Abdul Samad meledakkan gol kedua buat skuadnya pada minit ke-36 menerusi tendangan dalam kotak penalti.

Selepas rehat, Project Park terus membuat asakan ke kubu Twister dan dalam keghairahan memburu gol seorang pemain penyerangnya dijatuhkan pertahanan lawan di luar kotak penalti sekali gus menghadiahkan sepakan percuma.

Faizal mengambil sepakan percuma itu dengan mudah melakukan tendangan melepasi benteng pertahanan Twister sekali gus menggegar gawang Twister untuk gol ketiga buat Project Park pada minit ke-62.

Dengan kejuaraan itu, Project Park membawa pulang hadiah piala pusingan, piala iringan, pingat dan baucar tunai RM1,500.

Manakala Twister membawa pulang piala, pingat dan baucar tunai RM1,000. Tempat ketiga menjadi milik Suai Bersatu membawa pulang baucar tunai RM500.

Setiausaha Politik Ahli Parlimen Bintulu, Zaiedy Nor Abu Nasir menyampaikan hadiah kepada pemenang disaksikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Bintulu (BiFA) merangkap Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Duke Janteng serta wakil Lea Sports Centre.

Duke berkata, sebanyak lapan pasukan menyertai kejohanan itu merangkumi empat pasukan dari divisyen satu Piala Petronas dan empat pasukan divisyen dua (Piala Datuk Seri Tiong King Sing).

“Kejohanan itu adalah untuk memilih pemain-pemain berbakat dari kawasan bandar dan luar bandar bahagian ini berumur bawah 25 tahun,” katanya.

Advertisement