Anda di sini

Lee ungguli perseorangan lelaki Cabaran Antarabangsa Maybank

Advertisement

KUCHING: Hasrat pemain negara, Tan Chun Seang muncul juara perseorangan lelaki Cabaran Antarangsa Kuching Maybank Malaysia 2014 hancur selepas tunduk kepada pemain pilihan pertama, Lee Hyun Il dari Korea Selatan.

Beraksi di Stadium Perpaduan petang semalam, Tan menang set pertama mengalahkan pemenang pingat emas berpasukan Sukan Asia Incheon itu dengan 21-17.

Tan yang berusia 28 tahun bagaimanapun terpaksa akur dengan kekalahan pada set kedua 16-21 kepada pemain berusia 34 tahun yang dilahirkan di Seoul.

Set ketiga Lee menang 21- 11 sekali gus menyaksikannya membawa pulang wang tunai USD1,125 dan Tan USD570.

Pada sidang media selepas perlawanan, Lee yang pernah berada pada ranking nombor satu dunia berkata, penyertaannya pada kejohanan tersebut adalah untuk membaiki ranking semasanya.

“Ketika ini saya berada pada ranking ke-60 dunia dan sukar untuk menyertai kejohanan besar.

“Dengan kemenangan ini saya berharap ranking saya ketika ini dapat dibaiki,” katanya.

Nasib sama menimpa pasangan beregu lelaki negara, Chow Pak Chuu dan Mak Hee Chun apabila kalah kepada pasangan Chinese Taipei, Yu Chia Lin dan Wu Lin Hsiao dalam perlawanan tiga set.

Set pertama dimenangi gandingan Yu dan Wu 21-12 diikuti kemenangan Chow dan Mak 10-21 pada set kedua, manakala pasangan Chinese Taipei terpaksa berhempaspulas memenangi set ketiga dengan 22-20.

Beregu campuran menyaksikan Faisal Hafiz dan Aulia Devi Shella dari Indonesia mengalahkan Hee Yong Kai dan Tan Wei Han dari Singapura dalam pertarungan tiga set.

Perseorangan wanita menyaksikan Chen Jiayuan dari Singapura mengenepikan cabaran Mariska Gregoria dalam dua set.

Pilihan pertama dari Jepun, Kurihara Ayane dan Shinoya Naru tidak berdepan halangan mengalahkan beregu pilihan kedua Maretha Dea Giovani dan Rosyita Eka Putri Sari dari Indonesia dalam perlawanan dua set.

 

Advertisement