Anda di sini

Najib sedih atas pemergian bekas Ketua Polis Negara

Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melahirkan rasa sedih di atas pemergian bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Bakri Omar pagi tadi.

“Saya terima berita pemergian mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Bakri Omar dengan sedih hati.

“Moga roh Allahyarham dicucuri rahmat. Al-Fatihah,” kata Perdana Menteri menerusi laman Twitternya.

Mohd Bakri, 66, meninggal dunia di Institut Kanser Negara, Putrajaya kira-kira jam 8.45 pagi semalam akibat kanser.

Mohd Bakri dilahirkan pada 10 September 1948 di Manjung, Perak dan memulakan perkhidmatan sebagai Kadet Asisten Superintenden pada 1 Januari 1971.

Beliau dilantik menjadi Ketua Polis Negara pada 5 November 2003 sehingga Sept 2006, menggantikan Tan Sri Norian Mai.

Di NAGOYA, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan pemergian Allahyarham Mohd Bakri sebagai kehilangan buat negara.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham ketika hayatnya telah memberi perkhidmatan yang amat cemerlang bersama pasukan polis.

Muhyiddin menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Mohd Bakri sambil mendoakan semoga roh Allahyarham dilimpahi rahmat Ilahi dan ditempatkan bersama golongan salihin.

“Saya berharap mereka banyak bersabar dengan ujian yang dialami,” katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan kehadiran beliau pada Persidangan Pendidikan Mengenai Pembangunan Lestari anjuran UNESCO semalam. — Bernama

Advertisement