Anda di sini

Majlis Anugerah Kecemerlangan PMBS

Advertisement

Oleh Saleman Senin //

UNTUK ALBUM: Barisan Majlis Perwakilan Pelajar PMBS merakamkan kenangan bersama.

WARGA pendidik perlu menyedari perubahan peranan dalam membentuk pelajar yang berdaya saing dan berkualiti tinggi, peranan pendidikan perlu dianjak daripada pendekatan model kilang penghasilan pendidikan kepada model penciptaan pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang memberangsangkan minda, menguji daya saing kreativiti dan inovasi, mampu mencungkil keupayaan penyelesaian masalah serta dapat mengasah ketajaman penaakulan pelajar.

Pengarah Politeknik METrO Betong Sarawak (PMBS) Samsudin Mohd Salleh berkata untuk menghasilkan pendidikan yang bermutu tinggi, pensyarah perlu melakukan anjakan paradigma dalam melaksanakan pendekatan P&P yang menggalakkan pelajar untuk berfikir secara lebih kreatif dan inovatif.

“Orientasi P&P mesti berganjak daripada pembelajaran berbentuk hafalan kepada pembelajaran yang memberangsangkan minda pelajar dengan aktif.

“Begitu juga dengan pelajar, hari ini fungsi tradisional datang ke pusat-pusat pengajian bukan sekadar untuk belajar tetapi lebih kepada memperolehi pendidikan sebagai pewaris negara agar menjadi modal insan yang berilmu dan berakhlak mulia,” katanya.

WARGA PMBS: Samsudin (duduk tengah) merakamkan kenangan bersama warga PMBS.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan PMBS yang pertama kalinya di Ruang Legar PMBS, Betong, baru-baru ini.

Tambahnya, perubahan peranan pendidikan daripada konsep tradisional merupakan salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu untuk meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti, berkemampuan dan mempunyai peluang kebolehpasaran yang tinggi.

“Dalam konteks ini, NKRA itu sendiri merupakan satu inovasi dasar dan strategi yang ampuh dalam merealisasikan hasrat untuk memantapkan kualiti pendidikan negara,” ujarnya.

“Dalam pada itu juga, saya mengharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa-masa yang akan datang bukan sahaja untuk pelajar yang cemerlang, tetapi juga kepada mereka yang menunjukkan prestasi yang sentiasa meningkat dan mempunyai kemajuan dari semasa ke semasa,” jelasnya.

“Justeru itu, saya percaya ia adalah selari dengan matlamat untuk memberi dorongan dan motivasi para pelajar agar terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam semua bidang yang diceburi.

“Walaupun kita telah banyak menempa kejayaan, namun ia tidak bermakna kita terus berasa selesa berpeluk tubuh mengharapkan kejayaan yang dicipta pada masa lalu akan berulang dengan sendirinya pada masa hadapan.

“Hakikatnya dalam dunia yang semakin mencabar dewasa ini, kita berhadapan dengan pelbagai cabaran baharu yang menuntut supaya kita sentiasa meneroka ilmu terkini, melakukan inovasi dan berusaha untuk melangkaui sempadan kecemerlangan,” tambahnya.

Sementara itu, Mohamad Hazlizan Hot telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ketua Jabatan (AKJ), manakala Anugerah Pencapaian Terbaik diberikan kepada pelajar Diploma Pengurusan Pelancongan,

Selain itu, Lydia Dibah Ngalih dan Andrew Douglas Gudam memenangi Anugerah Staf Akademik Paling Popular dan Pengarah PMBS telah mendapat Anugerah Staf Paling Sporting.

Hadir sama Timbalan Pengarah PMBS Zamre Ab Rahman, Ketua Jabatan Perdagangan PMBS Mohd Burhan Yusof serta Pegawai Perhubungan Awam PMBS Imelda Richard.

TERBAIK: Lydia Dibah (dua kanan) menerima Anugerah Pencapaian Terbaik yang disampaikan oleh Samsudin.

Advertisement