Anda di sini

Perpustakaan mini kebanggaan pelajar SMK Asyakirin

Advertisement

Oleh Abang Ismail Abang Su’ud

 

SEBELUM: Rumah ini tiada apa yang istimewa sebelum diubah suai oleh sekumpulan pelajar SMK Asyakirin.

SEBUAH perpustakaan mini dikenali sebagai `Ruai Penemu Rumah Sureng anak Baba’ berjaya diubah suai oleh kumpulan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Asyakirin di Rumah Sureng Baba, Sungai Sebemban Jalan Bintulu-Kuala Tatau, baru-baru ini.

Projek itu telah dijalankan oleh 20 pelajar SMK Asyakirin di bawah bimbingan dua guru iaitu Nik Faris Nik Harun dan Nor Fauziah Ibrahim.

SMK Asyakirin merupakan salah sebuah sekolah yang menyertai pertandingan antara 60 buah sekolah dari negeri Terengganu, Sabah dan Sarawak di bawah Petronas All About Youth 2014 iaitu Petronas Junior Ambassador.

SELEPAS: Rumah kecil ini kelihatan ‘bersemangat’ setelah diubah suai menjadi perpustakaan mini di pekarangan Rumah Sureng Baba.

Di Sarawak sebanyak 20 sekolah menengah menyertai program itu merangkumi 12 buah sekolah di Miri dan lapan buah sekolah di Bintulu.

Justeru dalam projek itu, kumpulan pelajar SMK Asyakirin yang membawa moto `We Believe We Can Do It’ telah merangka projek perpustakaan mini yang bertujuan menyediakan kemudahan membaca untuk penduduk lebih 10 buah rumah panjang di sekitar kawasan Sungai Selad, Sungai Sebemban, Sungai Setulan dan Sungai Setiam di Jalan Bintulu-Kuala Tatau.

Menurut pihak sekolah itu, projek pembangunan kemudahan itu juga akan memudahkan penduduk untuk membaca sambil menambah ilmu pengetahuan berikutan penduduk di sekitar kawasan itu terlalu jauh untuk ke perpustakaan sedia ada di Bintulu.

“Projek yang mula dibangunkan pada akhir bulan September lalu telah dapat dilaksanakan dengan jayanya pada 1 November,” ujar kenyataan tersebut.

Beliau berkata, sempena kejayaan pembangunan projek itu, kumpulan pelajar sekolah berkenaan telah mengadakan majlis pelancarannya yang disempurnakan oleh Setiausaha Politik Ahli Parlimen Bintulu Zaiedy Nor Abu Nasir pada 1 November lalu.

Sempena majlis perasmian itu, seramai 70 pelajar dari rumah panjang dan sekolah berdekatan turut mengambil bahagian dalam pelbagai pertandingan yang dianjurkan oleh kumpulan pelajar SMK Asyakirin.

“Antaranya ialah pertandingan membaca, mewarna, melukis termasuk beberapa pertandingan yang melibatkan golongan belia dan ibu bapa di kawasan itu,” katanya.

Sementara itu katanya, projek pembangunan perpustakaan mini tersebut dibiayai melalui dana berjumlah RM2,000 yang berjaya diperolehi melalui aktiviti jualan amal baju terpakai, sumbangan buku-buku terpakai oleh pelajar SMK Asyakirin dan program amal mencuci kereta.

Jelasnya, buku-buku bacaan yang ditempatkan dalam perpustakaan itu juga merupakan hasil derma daripada Pustaka Negara, Pustaka Negeri Sarawak, Perpustakaan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, Friendship Bookstore, KK Bookstore dan orang perseorangan.

Sebanyak 1,957 buah buku pelbagai peringkat telah ditempatkan dalam perpustakaan mini tersebut.

Advertisement