Anda di sini

Ops Mata Helang PPSPAA fokus tahap kebersihan setaraf negara maju

Advertisement

PEKAN: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) kini menjalankan Operasi Mata Helang bagi memastikan setiap kawasan di negara ini mencapai tahap kebersihan yang tinggi seperti negara maju menjelang tahun 2020.

Dalam operasi itu, pemeriksaan kebersihan akan dilakukan secara terperinci di setiap pelosok kawasan seliaan PPSPPA terutama di lokasi tidak bersih, kawasan yang mengalami masalah longkang dan tempat paling banyak mendapat aduan penduduk setempat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Ab Rahim Md Noor berkata sebagai permulaan pihaknya memilih lima bandar di negara ini untuk mencapai sasaran tahap bersih, indah dan sejahtera iaitu Pekan (Pahang), Muar (Johor), Langkawi (Kedah), Rembau (Negeri Sembilan) dan Putrajaya (Wilayah Persekutuan).

“Saya percaya sasaran menjadikan semua kawasan di negara ini di tahap bersih dan indah boleh dicapai dengan kerjasama semua pihak terutama penduduk.

“Selain penguatkuasaan dan pemantauan pihak PPSPPA, kesedaran orang ramai tentang pentingnya menjaga kebersihan di kawasan masing-masing adalah lebih berkesan.

“Apabila penetapan minda mereka betul, kita berupaya untuk mengekalkan kebersihan secara berterusan kerana kesedaran mengenai hal itu lahir daripada diri mereka sendiri,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Ab Rahim berkata berdasarkan Ops Mata Helang, pihaknya akan memastikan penduduk berpuas hati dengan tahap kebersihan kawasan dan menyasarkan agar kawasan yang telah diperiksa dan dipantau akan terus kekal ‘sifar aduan’, sekali gus menjadi tanda aras kepada semua bandar dan daerah di seluruh negara.

“Antara rangka operasi ini ialah Rondaan Mata Helang bagi memantau kawasan penduduk dan memeriksa kawasan panas sampah haram.

“Pihak kami juga menyediakan peta seliaan PPSPPA kepada umum untuk memberitahu kawasan tersebut sedang dipantau sepenuhnya,” katanya.

Dalam pada itu, kata beliau, PPSPPA turut menekankan kebersihan longkang dan perbadanan telah menyasarkan untuk membersihkan longkang sebersih mungkin bermula 1 Julai lalu. — Bernama

Advertisement