Anda di sini

Empat anggota polis didakwa minta rasuah

Advertisement

KUALA LUMPUR: Empat anggota polis masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan meminta rasuah sebagai dorongan untuk melepaskan seorang lelaki yang ditangkap kerana kesalahan dadah.

Tertuduh adalah Inspektor K. Ravindran, 33, Koperal Mahzan Hakim Mohamad Zain, 31, Lans Koperal Faizal Miza Zakariah, 30, dan Konstabel Jasli Jahirin, 24, yang kesemuanya bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Daerah Sentul.

Mengikut pertuduhan, Ravindran didakwa meminta suapan iaitu wang tunai RM40,000 daripada seorang peniaga, Dhalgit Singh Mahinder Singh, 31, melalui panggilan telefon bimbit milik K. Manimaran sebagai dorongan untuk melepaskan Manimaran yang ditangkap atas kesalahan menyimpan dadah.

Ravindran didakwa melakukan kesalahan itu, antara jam 8.15 malam dan 10.15 malam, 4 Jun 2013, di Kepong di sini mengikut Seksyen 16(a)(B), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Pegawai polis itu juga didakwa dengan niat bersama tiga lagi tertuduh iaitu Mahzan Hakim, Faizal Miza dan Jasli cuba memperoleh rasuah wang tunai itu daripada individu sama bagi tujuan sama, pada keesokannya.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di bahu jalan berhadapan Restoran McDonald’s, di Kepong, di sini, antara jam 1.30 pagi dan 2 pagi.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 17 (a), akta sama yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Allaudeen Ismail membenarkan Ravindran diikat jamin RM15,000 bagi kedua-dua kes manakala RM10,000 bagi setiap tertuduh lain dan menetapkan 11 Dis ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Lokman Kasim manakala peguam Geethan Ram Vincent mewakili kesemua tertuduh. — Bernama

Advertisement