Anda di sini

Berpaut pada tiang elak diterbang puting beliung

Advertisement

71 buah rumah, sebuah klinik bidan di Kota Setar rosak

ALOR SETAR: “Saya, anak saya dan beberapa orang jiran berpaut pada tiang rumah saya agar kami tidak ditolak pusaran angin kuat,”demikian kata seorang penduduk Kampung Mergong Hilir yang mengalami kejadianangin puting beliung yang melanda beberapa kawasan di Daerah Kota Setar petangkelmarin.

Rohaya Md Saad, 37, kemudiannya mendapati sebahagian besar bumbung rumahnya rosak teruk dan kesemua barangannya seperti perabot dan peralatan elektrik dibasahi air hujan.

Beliau berkata ketika itu beliau bersama anak lelakinya Mohamad Azim Mohd Irwan, 10, sedang berada di dalam rumah dan terdengar teriakan jirannya yang ternampak puting beliung yang sedang berpusar datang dari kawasan sawah padi.

Katanya tidak sampai beberapa minit sahaja puting beliung menghampiri kawasaan rumah mereka dan sekali gus mengangkat bumbung rumahnya dan bumbung rumah jirannya.

“Buat masa sekarang, kami sekeluarga terpaksa tinggal dalam rumah yang rosak ini sebab kami tidak ada tempat lain untuk tinggal. Malam ini (semalam) pun kami akan tidur di bahagian hadapan rumah yang bumbungnya tidak rosak,” katanya ketika ditemui di rumahnya yang perlu dibaiki segera.

Sebanyak enam buah rumah di kampung itu mengalami kerosakan.

Dalam kejadian antara jam 10 hingga 15 minit yang bermula kira-kira jam 5 petang, keseluruhan 71 buah rumah dan sebuah klinik bidan di kawasan Kota Setar rosak.

Kawasan yang terlibat ialah Kampung Mergong Hilir, Kampung Batin, Kampung Sungai Baru, Taman Inang dan Taman Mergong Jaya.

Azizan Abdul Rani, 39, pula berkata beliau segera membawa anak dan isterinya keluar dari rumah mereka dan berlindung di rumah jirannya sebaik melihat puting beliung sedang menghala ke rumah mereka.

Rumahnya rosak teruk pada bahagian bumbung di ruang tamu dan kesemua barangan termasuk buku sekolah anaknya rosak akibat terkena air hujan.

“Saya harap bantuan dapat segera disalurkan kepada kami. Kami memerlukan rumah yang lebih selesa dengan segera kerana hujan lebat sentiasa turun pada waktu petang ketika ini,” katanya. — Bernama

Advertisement