Anda di sini

Bintulu menghadapi cabaran besar

Advertisement

Oleh Abang Ismail Abang Su’ud //

Menyediakan tempat rekreasi dan pembangunan sukan untuk masyarakat

BINTULU: Bintulu menghadapi cabaran besar bukan sahaja dalam pembangunan bandar semakin berkembang dan populasi penduduk yang kian bertambah dalam penyediaan tempat untuk rekreasi dan pembangunan sukan.

Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Datu Mohidin Ishak berkata dengan keadaan pembangunan terus ke hadapan serta populasi penduduk kian bertambah menjadi cabaran buat Bintulu menyediakan tempat bagi sektor pekerjaan serta mewujudkan rekreasi dan kemudahan sukan berkaitan.

Begitupun, pihaknya percaya persatuan-persatuan sukan seperti Bintulu Division Lawn Tennis Association (BDLTA) memainkan peranan dalam pembangunan sukan berkaitan.

“Dengan lulusnya pembinaan kompleks menyediakan kemudahan gelanggang tenis berdekatan stadium di Jalan Kidurong maka membantu dalam pembangunan sukan itu serta memudahkan penganjuran tenis pelbagai peringkat.

“Kemungkinan penaja-penaja sektor industri di sini boleh membantu dalam pembinaan gelanggang tenis tersebut,” katanya pada penutupan dan penyampaian hadiah Kejohanan Tenis Junior Terbuka Naim di Kelab Kidurong Bintulu semalam.

Dalam pada itu, beliau berharap para penaja terus menaja kejohanan-kejohanan tenis yang bakal dilangsungkan di sini pada masa hadapan.

“Bukan setakat sebuah organisasi atau syarikat menjadi penaja malah organisasi lain yang beroperasi dan menjana keuntungan dalam pembangunan industri di sini. Para pelabur industri-industri lain mungkin boleh menyumbang pembangunan sukan tenis,” tambahnya.

Mohidin berkata, BDLTA setiap tahun menganjurkan kejohanan tenis dilihat begitu baik dan memupuk sukan itu terus berkembang sekali gus memberi manfaat dalam usaha melahirkan pemain-pemain tenis hebat yang mungkin dapat mencontohi pemain tenis terbaik dunia seperti Rafael Nadal, Roger Federer, Novak Djokovic dan lain-lainnya.

Menurutnya, mereka yang menceburi sukan tenis bukan sahaja menerima pelbagai manfaat tetapi dari segi habuan hadiah yang diterima juga adalah besar.

“Meskipun di Sarawak para pemain belum mencapai tahap pemain dunia yang hebat namun usaha melatih dan mengasah bakat pemain-pemain muda terus dilakukan mungkin pemain-pemain itu mampu menyertai kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Tambahnya, menceburi sukan tenis amat baik justeru diharapkan pemain-pemain muda berpotensi dapat dilahirkan di sini dan Sarawak melalui kejohanan seumpamanya.

“Dengan penyertaan pemain-pemain dari Miri dan Kuching dan beberapa tempat lain amat penting bagi kejohanan ini sebagai usaha mengasah bakat mereka, namun sekiranya pemain mencapai kemenangan ia merupakan bonus buat mereka,” jelasnya.

Hadir sama Presiden BDLTA Sulaiman Sahari, Pengarah kejohanan Liong Woei Hua, Pengurus Kanan Operasi Harta Bintulu Naim Land Sdn Bhd, Gerald Sim yang mewakili penaja utama Naim Holdings Bhd termasuk wakil penaja dari Swagelok (M) BSmart.

Advertisement