Anda di sini

Pengusaha bas sekolah tetapkan tambang boleh didenda: MyCC

Advertisement

KUALA LUMPUR: Amaran Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang melarang penetapan harga tambang oleh pengusaha bas sekolah baru-baru ini nampaknya tidak diendahkan.

Presiden Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia, Mohd Rofik Mohd Yusof, dilapor sebuah akhbar harian tempatan sebagai berkata, kira-kira 18,000 pengusaha bas di bawah gabungannya di seluruh negara telah bersetuju menaikkan tambang sebanyak 30 peratus mulai tahun depan.

Dalam satu kenyataan hari ini, MyCC berkata sebelum ini Pengerusinya, Tan Sri Siti Norma Yaakob telah berkata, perlakuan itu melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 dan mengingatkan pengusaha bas untuk menentukan struktur tambang bas mereka secara bebas dan tidak menetapkannya bersama pengusaha lain.

Seksyen 4 akta itu melarang perusahaan, termasuk persatuan daripada menetapkan secara langsung atau tidak langsung harga belian atau jualan atau apa-apa syarat perdagangan lain bagi pembelian barangan dan perkhidmatan.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Shila Dorai Raj berkata, ahli persatuan yang bersetuju menetapkan harga secara kolektif, telah melanggar akta berkenaan dan boleh dikenakan penalti kewangan sehingga 10 peratus daripada perolehan mereka.

Suruhanjaya itu berkata, kenaikan harga secara amnya bukanlah amalan antipersaingan, tetapi jika peningkatan harga itu merupakan hasil daripada pakatan sulit melalui perjanjian penetapan harga oleh persatuan atau kumpulan penjual, pembekal atau pengeluar, kegiatan seperti kartel itu adalah pelanggaran serius akta berkenaan.

“Berikutan penyahkawalan struktur tambang bas sekolah oleh Suruhanjaya Pengangkutan Darat, pengusaha bas sekolah tidak lagi terikat kepada struktur tambang tetap, tetapi bebas menentukan tambang masing-masing berdasarkan kos operasi mereka,” katanya. — Bernama

Advertisement