Anda di sini

FAS tunggu keputusan rawatan Salibasic

Advertisement

KUCHING: Masa depan penyerang import dari Bosnia, Muamer Salibasic akan terjawab sebaik keputusan rawatan rapi yang dijalaninya di Kuala Lumpur diketahui dalam tempoh terdekat.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datu Sudarsono Osman berkata sekiranya keputusan diterima tidak baik, Sarawak tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa menggantikan Salibasic dengan pemain import baharu.

“Namun, perkara ini akan diputuskan setelah perbincangan dengan Ketua Jurulatih Sarawak, Robert Alberts sekembali beliau dari bercuti,” katanya di sini semalam.

Sudarsono menambah, jika keputusan rawatan Muamer negatif Sarawak perlu mencari dua pemain import baharu bagi mengisi slot yang ditinggalkan pemain itu dan seorang lagi pemain import, Hassan El Mohamed.

Bagaimanapun, pengurus pasukan kebangsaan itu masih menaruh harapan pemain import tersebut dapat pulih sepenuhnya sebelum saingan Liga Malaysia 2015 bermula.

“Muamer sangat penting bagi Sarawak kerana beliau memiliki ciri-ciri pemain yang mampu membantu kita mengharungi saingan Liga Malaysia musim depan,” katanya.

Muamer direhatkan hampir keseluruhan musim Liga Super 2014 setelah mengalami kecederaan lutut kiri serius semasa aksi pembukaan menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Januari lalu.

Sementara itu, Alberts telah mengadakan beberapa siri lawatan ke beberapa perlawanan di Indonesia bagi memantau pemain import yang berpotensi untuk dibawa menyertai Sarawak pada musim depan.

Kini semua pemain sedang bercuti dan akan memulakan latihan seperti biasa pada 10 November depan.

Advertisement