Anda di sini

Terung Dayak boleh dibuat kek, biskut, jeli, aiskrim dan banyak lagi

Advertisement

PENYELIDIK: Rajmah (tengah) bersama dua pegawai penyelidik ARC Semongok Jocelyn (kiri) dan Pearlycia (kanan) semasa Simposium Bioborneo di UNIMAS, baru-baru ini.

Oleh Saleman Senin

 

TERUNG asam atau lebih dikenali sebagai ‘terung Dayak’ di negeri ini mempunyai potensi yang luas untuk dikomersilkan sehingga ke luar negara dengan beberapa penghasilan produk makanan daripada buah berkenaan.

Lazimnya, terung asam atau nama saintifiknya, Solanum Iasiocarpum Dunal hanya dikenali oleh masyarakat tempatan untuk dimasak sup sayuran sahaja.

Namun, kini pengkaji tempatan berjaya memanipulasi khasiat buah berkenaan untuk dijadikan pelbagai inovasi produk makanan tempatan.

Pusat Penyelidikan Pertanian (ARC) Semongok, Jabatan Pertanian (DOA) Negeri Sarawak telah berjaya menyenaraikan 12 produk yang dihasilkan daripada terung asam.

Pegawai Penyelidik Kanan merangkap Ketua Seksyen Teknologi Pasca Tuai dan Makanan DOA Negeri Sarawak, Rajmah Muzli Razili memberitahu, 12 produk terung asam mempunyai potensi yang sangat luas untuk dikembangkan.

“Semua produk yang kita hasilkan merupakan inovasi dari segi pengolahan kek, jem, gula, biskut dan sebagainya.

“Setakat ini, 12 produk berkenaan ialah Terung Asam Kering, Jus Terung Asam, Kek Gubahan Tiung, Kek Tiung, Kek Keju Tiung, Biskut Cip Tiung, Jem Terung Asam, Sambal Terung Asam, Gula Jeli Terung Asam, Terung Asam Keping, Keropok Terung Asam dan Aiskrim Terung Asam.

“Apa yang istimewanya produk ini ia dihasilkan sepenuhnya daripada terung asam yang ada di Sarawak,” katanya.

Rajmah memberitahu, inovasi terbaharu ARC Semongok itu setakat ini hanya telah mengkomersilkan dua produknya melalui usahawan tempatan yang berminat.

“Setakat ini, pengusaha kek yang telah mula menunjukkan minat dalam mengkomersilkan produk daripada terung asam ini ialah Mariam Cake House.

“Mariam Cake House telah memasarkan kek dan biskut terung asam ke pasaran tempatan dan selain itu, seorang lagi pengusaha yang telah menunjukkan minat ialah Leni Spice dengan mengeluarkan sambal terung asam.

“Dalam masa terdekat, produk aiskrim terung asam juga akan menemui orang awam melalui kerjasama dengan Mayhua Ice Cream.

“Bagi ARC, kerjasama dengan usahawan-usahawan sedemikian sangat dialu-alukan untuk mengembangkan produk Sarawak untuk diperkenalkan sehingga ke luar Sarawak dan di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

AISKRIM TERUNG ASAM

Sementara itu, Rajmah menjelaskan bermula tahun 2013 sehingga tahun ini, ARC Semongok giat mengadakan jerayawara, ekspo dan pameran di seluruh negara untuk mempromosikan produk terung asam.

“Pada tahun lalu, kita pernah mengikuti ‘10th Malaysia International Halal Showcase’ (MIHAS) 2013 di Kuala Lumpur, Program Green Kuching di Kuching, Seminar East Asia Plant Variety Protection Kuching dan baru-baru ini kami berjaya mengadakan Hari Terbuka Pusat Penyelidikan Pertanian ARC Semongok.

“Program-program sedemikian sangat penting untuk mengetengahkan lebih banyak produk tempatan yang masih tidak diketahui umum khasiat dan kebaikannya.

“Sambutan daripada orang ramai sangat menggalakkan dan memuaskan sehingga ada yang bertanya di mana mereka boleh mendapatkan produk-produk tersebut.

“Apa yang lebih mengujakan sambutan bukan sahaja daripada masyarakat tempatan sendiri tetapi juga pelancong dari Semenanjung Malaysia dan luar negara seperti China, Australia, Afrika, Thailand dan sebagainya.

“Ramai juga yang tidak mengenali buah terung asam dan semasa pihak kami melakukan ujian rasa, ramai yang menyatakan produk ini seperti produk mangga dan betik.

“Sambutan yang paling hangat ialah jus terung masam yang amat menyegarkan dan terung asam kering yang amat sesuai untuk dinikmati pada masa santai,” jelasnya.

Beliau menambah, hasil kajian ARC Semongok mendapati produk terung asam boleh diterima umum dalam dan luar negara.

“Hal ini menunjukkan berkembangnya produk ini nanti bergantung kepada promosi, permintaan pasaran, kapasiti pengeluaran, pemprosesan dan bahan mentah sekali gus pengurusan perniagaan yang baik bagi mengekalkan rantaian bekalan.

Rajmah mewakili ARC Semongok menyatakan hasratnya kepada usahawan-usahawan yang berminat untuk bersama-sama mengambil peluang ini bagi mengembangkan produk terung asam.

“Saya berharap usahawan-usahawan tempatan lebih berani bersaing dan menceburkan diri dalam pengeluaran produk tempatan bagi memajukan dan mengangkat nama negeri Sarawak ke mata dunia.

“Kita mempunyai sumber, kepakaran dan kerajaan yang akan membantu usahawan yang berminat, ayuh majukan produk terung asam ke peringkat antarabangsa untuk membawa nama Sarawak,” ujarnya bersemangat.

Terung asam sebenarnya dikenali di banyak negara Asia Tenggara yang lain dengan nama yang berbeza. Di Brunei ia disebut sebagai terung pasai, ‘cung bulu’ bagi masyarakat Indonesia, sementara di Laos pula ia dikenali dengan nama ‘khua khon’ dan ‘tabanburo’ atau ‘tagatum’ di Filipina.

Di Myanmar pula ia popular sebagai ‘sinkade’ dan di Vietnam dengan nama ‘mapu’ atau ‘yongkuidi’ dan ‘muuk’ bagi masyarakat Thailand.

 

 

Advertisement