Anda di sini

Jangan buat tuduhan melulu

Advertisement

Datuk Wee Hong Seng
Presiden PBBS

Wee sangkal dakwaan PBBS abai kebajikan Allahyarham Bujang Taha

Oleh Harry Ilias //

KUCHING: Presiden Persatuan Bina Badan Sarawak (PBBS) Datuk Wee Hong Seng menyangkal tuduhan kononnya persatuan mengabaikan kebajikan atlet bina badan veteran Allahyarham Bujang Taha.

Menurutnya, pemergian Bujang, 77 pada 12 Oktober lalu merupakan kehilangan yang sangat besar buat Sarawak dan negara.

“Ia tuduhan yang amat memalukan PBBS dan keluarga Allahyarham. Bagi pihak persatuan, kita berharap beliau (Bujang) dapat bersemadi dengan aman,” katanya semalam.

Wee yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bina Badan Malaysia (PBBM) berharap orang ramai menunjukkan sokongan moral terhadap keluarga Allahyarham dengan mengeluarkan komen positif.

“Jangan membuat tuduhan melulu dan berhenti mengeluarkan berita palsu terhadap PBBS tanpa sebarang bukti kukuh,” jelas Wee lagi.

“Fikir dulu sebelum membuat sebarang tuduhan kerana ia akan menjejaskan imej persatuan.”

Sebaliknya, Wee menegaskan PBBS telah banyak membantu Bujang hingga saat beliau menghembuskan nafas terakhir.

“Semasa rumah beliau musnah dalam kebakaran, PBBS tampil menghulurkan bantuan kewangan bagi membantu membina semula kediamannya.

“Malah, kita juga telah menghadiahkan trofi istimewa buat Bujang yang tertera semua kejayaannya yang lepas sebagai menghargai jasa beliau.

“Sumbangan PBBS buat untuk Allahyarham jauh lebih baik berbanding mereka yang hanya tahu mengkritik persatuan,” katanya.

Menurutnya, Bujang seorang atlet sejati, profesional dan sentiasa berada dalam kelasnya tersendiri.

“Beliau juga amat mementingkan maruahnya sebagai seorang atlet. Ini dapat dilihat di mana beliau tidak pernah meminta dan mahu pencapaiannya dicontohi oleh atlet-atlet lain,” katanya.

Allahyarham Bujang menghembuskan nafas terakhir pada 12 Oktober lalu akibat komplikasi kanser jantung dan mulut.

Beliau dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak setelah diserang penyakit asma kronik.

Pencapaian terbaik Bujang ada-lah ketika memenangi pingat emas pada Sukan SEA 1977 dan 1979 selain bergelar juara Mr Asia pada 1980 dan 1981.

Beliau juga pernah menyertai pertandingan Mr Universe di Mesir pada 1980 dan Belgium pada 1982.

Advertisement