Anda di sini

Adenan tiba di Chengdu, China untuk lawatan kerja dua hari

Advertisement

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem kelmarin tiba di bandar Chengdu di wilayah Sichuan, China untuk lawatan kerja dua hari.

Adenan yang diiringi isteri, Datin Patinggi Puan Sri Datuk Jamilah Anu disambut pegawai-pegawai Dongfang Electric Corporation dan Konsul Kunming Nasri Rahman sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Chengdu.

Manakala setibanya di hotel, Adenan dan isteri kemudian disambut oleh Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing dan Menteri Pembangunan Perindustrian yang juga Menteri Kemudahan Awam Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Ketua Menteri bersama rombongan kemudian diraikan dengan majlis makan malam yang dihoskan oleh Dongfang Electric Corporation.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Adenan berkata tujuan kehadirannya ke China adalah untuk belajar daripada pengalaman serta kepakaran China dalam bidang kejuruteraan serta pembinaan empangan hidro.

“Kami tidak mempunyai pengalaman dalam pembinaan empangan hidro dan kami memerlukan kepakaran asing untuk membantu,” katanya.

Menurut Adenan, Sarawak yang dikurniakan banyak sungai perlu meneroka potensi tenaga hidro untuk menjana tenaga elek-trik yang agak murah dan boleh diperbaharui untuk menjalankan industri.

Sempena lawatan itu, Adenan juga mengadakan mesyuarat rasmi dengan pegawai-pegawai syarikat Dongfang Electric Corporation sebelum melawat kilang pembuatan turbin dan penjana mereka.

Terdahulu, Masing dan Awang Tengah telah melawat Empangan Hidro Zipingpu.

Mereka turut diberi taklimat mengenai operasi empangan yang juga menyediakan air untuk pengairan dan bekalan air untuk penduduk.

Advertisement