Anda di sini

Pemburu haram: Masidi akan bincang dengan pegawai jabatan

Advertisement

Oleh YUSOP TEPPO //

SANDAKAN: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun akan berbincang dengan pegawai-pegawai Jabatan Hidupan Liar Sabah bagi menangani masalah pemburu haram dalam usaha memelihara dan melindungi binatang yang terancam di negeri ini.

Beliau berkata, pihaknya sedang menilai semula kedudukan serta bagaimana menghadapi cabaran-cabaran dalam menangani pemburu haram.

“Salah satu cabaran kita ialah untuk mendidik masyarakat luar bandar bahawa memburu itu ada hadnya dan antara cabaran masa kini yang kita hadapi ialah pemburuan komersil yang melakukan pemburuan haram terhadap bintang liar termasuk bintang yang dilindungi untuk dijual kepada orang ramai,” katanya pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman merasmikan sambutan Ulangtahun Ke-50 Pusat Pemuliharaan Orangutan Sepilok di sini, kelmarin.

Masidi berkata, ia mendidik masyarakat agar melupakan budaya memburu untuk keperluan sendiri atau untuk tujuan penjualan kepada orang ramai.

“Kita mahu beri penekanan kepada perkara ini agar mereka dapat kesedaran memburu itu adalah satu kesalahan kerana kita mempunyai undang-undang, kita telah wartakan hutan simpan dan akhirnya semua bergantung kepada sikap penduduk Sabah itu sendiri untuk menjamin penerusan kehidupan binatang liar di Sabah,” katanya.

Katanya, paling popular ialah mereka yang memburu secara haram dilakukan di hutan simpan dan agak malang mereka menangkap atau menembak apa juga binatang yang mereka dapat termasuk ular, kucing hutan, musang dan sebagainya.

“Kerana ia dianggap sebagai daging eksotik yang dapat dijual pada harga yang tinggi. Kalau ini berterusan, habislah hidupan liar yang terdapat di Sabah ini dan tidak ada apa-apa yang akan diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.

Masidi berkata, buat masa ini kawasan hitam yang menjadi kegemaran pemburu haram di pedalaman kerana  dengan peningkatan infrastruktur seperti jalan raya yang lebih baik bukan sebenarnya memudahkan tetapi sebenarnya memudahkan pemburuan haram menjalankan aktiviti mereka.

“Saya berharap akan berbincang semula dengan pegawai-pegawai hidupan liar khususnya mereka yang terlibat dalam penguatkuasaan undang-undang dan berpandukan amalan-amalan yang lebih baik di negara lain untuk kita berusaha wujudkan panduan dan cara baharu untuk mengurangkan kes ini,” katanya.

Beliau berkata, soal menghapuskan sama sekali pemburuan haram mungkin tidak boleh tetapi boleh berusaha sekurang-kurangnya dapat menurunkan kes pemburu haram supaya jumlah populasi hidupan liar di hutan simpan meningkat dan terlindung.

“Tahun ini, banyak kes tangkapan pemburu haram dilakukan oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah khususnya di sebelah Pensiangan. Saya tidak ada statistik tepat yang pasti kes tangkapan ini memang banyak dan ada yang menunggu untuk pendakwaan di mahkamah,” tegasnya.

Dalam masa yang sama, Masidi berkata keperluan pihak penguatkuasa Jabatan Perhutanan Sabah amat penting dan perlu dipertingkatkan dalam membantu menangani masalah pemburu haram ini.

“Saya juga mengambil kira bahawa jumlah penguatkuasa kita tidak cukup, ada kekangan tertentu tapi itu kita berusaha untuk menyelesaikannya tetapi yang penting keberkesanan tindakan kita kerana jumlah tidak menjamin bahawa ia akan lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata, apa yang penting adanya tindakan yang berterusan dan dalam masa yang sama juga usaha untuk mendidik masyarakat agar mematuhi peraturan dan undang-undang.

Masidi berharap dengan majlis sambutan ulangtahun ke-50 pusat itu bagi memupuk dan mendidik rakyat  supaya tidak mengamalkan pemburuan secara haram kerana ia juga adalah sesuatu yang menyumbang kepada kepupusan binatang dilindungi berkenaan.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Sekong Datuk Samsudin Yahya, Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Datuk Dr Laurentius N Ambu, Pengerusi Andamy Group Tan Sri Andriew Liew dan pegawai-pegawai kerajaan.

Advertisement