Anda di sini

Lelaki maut terbabit nahas

Advertisement

Oleh RUZAINI ZULKIFLI //

KOTA BELUD: Seorang lelaki maut selepas Toyota Unser yang dinaiki bersama dua rakannya bertembung dengan sebuah pacuan empat roda dalam nahas di Kilometer 13 Jalan Kota Kinabalu-Kota Belud, dekat sini pagi kelmarin.

BEGINILAH keadaan kedua-dua kenderaan yang bertembung dalam insiden itu pagi kelmarin.

Dalam insiden berlaku jam 9 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Amran Etin, 46, yang merupakan penumpang tempat duduk hadapan meninggal dunia serta merta di tempat kejadian sementara pemandu dan seorang lagi penumpang turut mengalami kecederaan.

Terdahulu, ketiga-tiga mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan menuju ke pusat bandar dari Kota Belud dan sebaik tiba di lokasi, muncul sebuah pacuan jenis Mitsubishi Storm lalu merempuh kenderaan mereka dari bahagian hadapan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Belud Superintenden Mohd Zaidi Abdullah ketika dihubungi berkata, berdasarkan siasatan awal pihaknya telah mendapati pemandu Mitsubishi itu dipercayai gagal mengawal kenderaannya sehingga mengakibatkan pertembungan itu.

“Menurut siasatan awal, punca kemalangan adalah dipercayai Mitsubishi yang dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun dikatakan hilang kawalan lalu bertembung dengan kenderaan dinaiki mangsa.

“Mangsa yang merupakan penumpang di tempat duduk hadapan Unser itu telah meninggal dunia serta merta di tempat kejadian,” katanya di sini kelmarin.

Mohd Zaidi berkata, kemalangan itu berlaku dalam keadaan cuaca hujan lebat dan menasihatkan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat untuk segera tampil bagi membantu siasatan kes.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis memohon orang ramai yang menyaksikan atau mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan.

“Kita ingin menasihatkan orang ramai khususnya pengguna jalan raya supaya meningkatkan tahap keselamatan ketika berada di jalan raya memandangkan keadaan cuaca buruk disebabkan hujan lebat sejak beberapa hari ini,” katanya.

Advertisement