Anda di sini

Walaupun letih dan lapar, anggota polis masih dapat pikul tanggungjawab

Advertisement

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu oleh seorang pegawai Cawangan Khas (SB) Bukit Aman, walaupun terperangkap di sebuah perkampungan air kira-kira 22 jam selepas berlaku pertempuran, beliau yang keletihan dan kelaparan ketika itu masih mampu mematuhi arahan yang diberikan kepadanya sebaik selepas diselamatkan.

Inspektor Khairulnizam Husin, 45, yang terperangkap bersama beberapa anggota polis di sebuah rumah di Kampung Sri Jaya di Simunul, Semporna pada 2 Mac tahun lepas, telah diarahkan oleh ketua operasi menyelamat DSP Hisham Mahmood untuk menerima semua senjata yang dirampas komando VAT69, yang terbabit dalam operasi menyelamat, tidak lama selepas keluar dari Kampung Sri Jaya pada petang 3 Mac tahun lepas.

“Walaupun saya letih dan kelaparan pada masa itu, saya masih mampu memikul tanggungjawab saya,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff pada sesi pemeriksaan balas, perbicaraan kes 30 tertuduh yang menghadapi pelbagai pertuduhan berkaitan pencerobohan di Lahad Datu pada Februari tahun lepas.

Tertuduh terdiri daripada 27 warga Filipina dan tiga penduduk tempatan, yang sebahagian menghadapi pelbagai pertuduhan seperti melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, menganggotai kumpulan pengganas, merekrut anggota kumpulan pengganas dan melindungi individu yang diketahui anggota kumpulan pengganas yang didakwa dilakukan antara 12 Feb dan 10 April tahun lepas.

Khairulnizam, yang bertugas di Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna ketika itu, memberitahu mahkamah Hisham datang kepadanya dan memberi arahan kepadanya selaku pegawai SB, yang merupakan satu-satunya pegawai polis di Semporna yang terselamat dalam pertempuran itu.

Khairulnizam adalah antara 57 anggota polis yang terbabit dalam serbuan di perkampungan itu pada 2 Mac tahun lepas untuk menahan seorang suspek yang dikaitkan dengan pencerobohan di Lahad Datu apabila pertempuran berlaku pada 7.30 malam yang mengorbankan enam anggota polis.

Sementara itu, pegawai SB Bukit Aman ASP Mohd Aswad Arshad, 32, berkata pada 17 Feb tahun lepas, beliau dimaklumkan oleh Allahyarham Supt Ibrahim Lebar mengenai tugasan di Lahad Datu dan Semporna yang dikenali sebagai Op Sulu.

Beliau memberitahu mahkamah, operasi itu yang kemudian dikenali sebagai Op Daulat, mengenai pencerobohan yang berlaku di Kampung Tanduo di Lahad Datu.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar apakah kaitan Semporna dengan pencerobohan di Lahad Datu, Mohd Aswad berkata terdapat maklumat di Semporna yang berkait rapat dengan pencerobohan oleh militan Sulu di Lahad Datu.

Pegawai SB itu yang merupakan saksi ke-44 pendakwaan berkata beliau ditugaskan untuk mengesan lokasi nombor telefon yang diberikan kepadanya, tetapi tidak boleh memintas panggilan, semasa operasi itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung hari ini. — Bernama

Advertisement