Anda di sini

16 senjata api dirampas, tiga lelaki ditahan polis

Advertisement

RAMPASAN: Ahmad (tengah) bercakap pada sidang media mengenai rampasan 16 laras rifel termasuk senapang patah di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi di Langkawi semalam. — Gambar Bernama

LANGKAWI: Polis Kedah merampas 16 senjata api termasuk raifal dan senapang patah bersama lebih 1,000 butir peluru yang melanggar syarat lesen interim dan dipercayai sudah tamat tempoh.

Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata dalam serbuan itu, polis turut menahan tiga lelaki termasuk seorang warganegara United Kingdom, berumur 40-an, yang menanam senjata api itu di sebuah rumah di Kampung Belanga Pecah di sini, 9 malam Rabu lepas.

“Pemilik senjata api itu merupakan pemilik kapal dagang yang berlabuh di perairan Langkawi, yang digunakan untuk tujuan ke-selamatan tetapi dibawa naik ke daratan dan ia menyalahi syarat lesen dikeluarkan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi di sini, semalam.

Katanya, senjata api itu dirampas atas dasar kese-lamatan dan khuatir senjata terbabit disalah guna.

“Rampasan ini tidak ada kaitan dengan kegiatan pengganas atau militan,” kata-nya.

Ahmad berkata polis turut mengenal pasti seorang lelaki warga New Zealand yang merupakan pemilik senjata itu yang bertanggungjawab atas penyimpanan senjata api berkenaan.

Katanya lelaki berumur lingkungan 40-an itu dipercayai majikan kepada tiga individu yang ditahan dalam serbuan itu.

“Kita sudah kesan kedudukan lelaki itu yang kini ber-ada di luar negara dan kita akan pastikan dia ditahan untuk tindakan lanjut sebaik memasuki negara ini,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Sementara itu, Ahmad berkata sehingga kini sebanyak 23 laras senjata api dirampas dalam dua kes di pulau ini termasuk tujuh laras senjata api pada 18 Sept lepas.

Polis Kedah merampas raifal terbabit di sebuah kapal mewah dan menahan seorang lelaki warga Afrika Selatan dan teman wanitanya warganegara Thailand.

Mengenai keselamatan perairan Langkawi, Ahmad berkata kedudukan- nya adalah selamat dan terkawal. — Bernama

Advertisement