Anda di sini

Pentadbiran baharu perlu segera bekerja

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pentadbiran baharu kerajaan negeri Selangor yang bakal ditubuhkan perlu segera menjalankan tanggungjawab kepada rakyat sekali gus menamatkan krisis jawatan menteri besar yang berlarutan sejak sekian lama.

“Kita perlu fokus dan bergerak ke depan…krisis yang berlarutan begitu lama…saya kira kita bertanggungjawab untuk segera menamatkan krisis ini dan laksanakan tugas seperti biasa,” kata Menteri Besar Selangor yang baharu, Mohamed Azmin Ali.

Beliau bercakap kepada pemberita di majlis kesyukuran pelantikannya sebagai menteri besar ke-15 Selangor di rumah ibunya di sini semalam.

Mohamed Azmin, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, turut ditanya sama ada segala projek dan pembangunan di bawah pentadbiran bekas menteri besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan diteruskan atau sebaliknya.

“Saya belum bersedia memberi butiran terperinci pada masa ini…untuk berlaku adil, saya perlu bertemu agensi dan pihak berkuasa yang berkaitan untuk mendapatkan lebih banyak maklumat, biarlah saya berbincang dengan para pegawai,” katanya.

Sambil menyatakan bahawa beliau tidak mempunyai niat jahat terhadap sesiapa pun di Selangor, Mohamed Azmin berkata: “Apa yang penting di sini ialah rakyat Selangor akan mendapat manfaat daripada pembangunan. Kita mahu memastikan semua perjanjian yang ditandatangani mesti telus dan dilaksanakan.”

Mohamed Azmin, 50, mengambil alih jawatan menteri besar Selangor daripada Abdul Khalid yang memegang jawatan itu mulai 2008.

Beliau mengangkat sumpah sebagai menteri besar Selangor yang baharu di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balairong Seri, Istana Alam Shah, Klang semalam. — Bernama

Advertisement