Anda di sini

STAB bakal beri manfaat kepada enam rumah panjang

Advertisement

Oleh Watt Zacchaeus

 

KENANGAN: Jabu serta barisan kenamaan lain merakamkan kenangan bersama ketua masyarakat yang hadir pada majlis tersebut.

PROJEK Sistem Tagang Sungai Bugau (STAB), Nanga Kajah di Ulu Sungai Ngemah, Kanowit telah menerima pujian daripada Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr Alfred Jabu Numpang.

Beliau berkata, kejayaan STAB adalah hasil kerjasama peserta dari enam buah rumah panjang di skim penempatan semula Nanga Jagau yang mengusahakan projek itu secara usaha sama.

“Jika berjaya, ia akan menghasilkan banyak produk sampingan yang kemudiannya akan memberi manfaat kepada ekonomi para peserta dan masyarakat setempat.

“Tapak projek ini boleh menarik pelancong asing yang sukakan aktiviti lasak,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyampaian STAB kepada peserta di Sungai Bugau, Nanga Kajah di Ulu Sungai Ngemah, Kanowit baru-baru ini.

Perjalanan ke tapak STAB itu mengambil masa kira-kira tujuh jam perjalanan dari Pekan Kanowit dengan menggunakan perahu panjang serta mencabar kerana melalui kawasan-kawasan jeram. Selain itu peserta terpaksa menolak perahu akibat paras sungai yang cetek di beberapa kawasan yang dilalui.

Hadir sama ialah Menteri Muda Kemudahan Awam Datuk Dr Stephen Rundi Utom, Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Alexander Vincent, Setiausaha Tetap Kementerian Pemodenan Pertanian Datu Dr Ngenang Janggu, Pegawai Daerah Kanowit Katis Noel Nyabong, Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Sibu Peggy Ronin Edin, Pegawai Penerangan Daerah Kanowit Wan Mohd Zuki Wan Ismail, Penasihat Projek STAB Dr Charlie Dudang dan Pengerusi STAB Ajan Kelo.

Menurut Charlie, projek itu telah dilancarkan pada Januari tahun lepas dan disertai oleh 98 keluarga.

Beliau percaya ia adalah sistem tagang berpagar yang pertama di negara ini.

Para peserta adalah penghuni rumah panjang asal di Sungai Kajah sebelum mereka berpindah ke skim penempatan semula Nanga Jagau pada tahun 1970-an, katanya.

“Ia diilhamkan bagi melindungi tempat kelahiran asal kami daripada aktiviti pencerobohan seperti pembalakan haram dan memelihara flora dan fauna di kawasan itu.

“Pagar ini dibina secara bergotong-royong oleh penduduk rumah panjang,” katanya.

Pada majlis itu, Jabu mengumumkan geran keseluruhan berjumlah RM60,000 untuk STAB.

Terdahulu, sejurus tiba pada majlis tersebut, Jabu bersama-sama dengan Rundi, Aaron dan Alexander telah melepaskan sebanyak 6,000 anak ikan empurau ke Sungai Bugau.