Anda di sini

Penahanan dua bot pam bongkar aktiviti bom ikan

Advertisement

ANGGOTA PPM Semporna mengawal dua suspek yang diberkas kerana disyaki melakukan kegiatan bom ikan.

SEMPORNA: Pemeriksaan ke atas dua bot pam di perairan Semporna di sini Rabu lepas membawa kepada terbongkarnya aktiviti bom ikan yang didalangi empat suspek.

Menurut Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Sabah ACP Mohammad Madun, kedua-dua kes terbabit dikesan semasa PPM Semporna membuat rondaan Ops Paradise.

“Kita berjaya menahan dua suspek dan dua lagi suspek sempat meloloskan diri apabila terjun ke laut semasa dihampiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Mohammad berkata, kedua-dua kes itu dikesan kira-kira jam 3.30 petang di perairan Laut Pulau Silawa dan membawa kepada rampasan pelbagai barang dan peralatan.

Katanya, dua suspek yang ditahan adalah lelaki berumur 23 dan 26 tahun warganegara Filipina serta berketurunan Bajau.

“Kita mengesyaki mereka menggunakan bahan letupan yang ditemui di ruang kedua-dua bot pam terbabit untuk menangkap ikan basah,” katanya.

Menurutnya, antara yang dirampas adalah dua bot pam, dua enjin 13 kuasa kuda, dua kompresor, dua batang shaft serta propeller dan segulung hos getah.

Beliau berkata, pasukannya turut merampas ikan basah pelbagai jenis yang dianggarkan seberat 30kg dan bernilai kira-kira RM315.

“Kesemua suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Balai Polis Semporna untuk tindakan dan siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya.

Advertisement