Anda di sini

Aidil wajar diberi peluang

Advertisement

KUCHING: Penjaga gol ketiga Aidil Mohammad wajar diberikan semula tempat dalam kesebelasan utama skuad Sarawak bagi mengharungi Liga Malaysia musim depan.

Pemain kelahiran Mukah itu berada dalam kelas tersendiri dengan menyelamatkan deretan serangan Terengganu bagi membolehkan mereka mengutip satu mata setelah terikat tanpa jaringan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah kelmarin.

Ketiadaan ramai pemain tonggak memberi peluang kepada Terengganu mendominasi permainan sepenuhnya namun sering dihampakan oleh aksi cemerlang Aidil.

Pada minit ke-28, penyerang tuan rumah Zubir Azmi berjaya meloloskan pertahanan Sarawak namun cubaannya berjaya ditepis keluar Aidil.

Penjaga gol Sarawak itu sekali lagi cemerlang mematahkan percubaan Nor Farhan Muhammad pada minit ke-32 sebelum menghampakan percubaan Ashaari Shamsuddin seminit kemudian.

Terengganu terus garang pada separuh masa kedua namun jaringan yang dicari masih tidak kesampaian.

Peluang terbaik mereka sekali lagi menjelma pada minit ke-79 namun tandukan Norfarhan tersasar jauh dari gawang Sarawak.

Pujian juga harus diberikan kepada penyerang muda Sarawak, Dalglish Papin Test dan Shreen Tambi yang berjaya mengkucar-kacirkan benteng pertahanan Terengganu.

Shreen, pemain SUKMA 2016 yang baharu diserap dalam skuad senior tidak menghampakan Ketua Jurulatih Robert Alberts dengan merangka beberapa gerakan berbahaya ke kubu lawan.

Sementara itu, Alberts memuji kejayaan anak-anak buahnya mengutip satu mata dari perlawanan tersebut.

“Saya sangat gembira dengan keputusan ini kerana Terengganu bukanlah lawan yang mudah apatah lagi dengan jumlah pemain yang sangat terhad,” komen beliau kelmarin.

Sarawak kekal di tangga keempat kumpulan B dengan mengutip lima mata menyaksikan mereka dan Perak dengan lapan mata gagal ke peringkat suku akhir.

Kedah dan Terengganu mengesahkan tiket setelah masing-masing mengutip 10 dan sembilan mata.

 

Advertisement