Anda di sini

Yayasan Sarawak lancar ‘English Literacy Directions Programme For Secondary School’

Advertisement

LUNDU: Yayasan Sarawak semalam melancarkan buku bacaan ‘English Literacy Directions Programme For Secondary School’, yang akan menjadi perintis memperkasakan bahasa Inggeris di sekolah luar bandar dan pedalaman.

Ia yang merupakan antara salah satu program kerjasama mereka dengan Jabatan Pendidikan Sarawak, dilancarkan isteri Ketua Menteri Puan Sri Datuk Jamilah Anu di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lundu.

Pengarah Yayasan Sarawak Datu Mohamad Abu Bakar Marzuki dalam ucapannya berkata, program berkenaan menumpukan kepada pelajar bagi melengkapkan mereka dengan inti pati asas bahasa Inggeris.

“Ia bagi membolehkan mereka berkomunikasi dalam pelbagai situasi secara berkesan sama ada secara bertulis, lisan atau mana-mana jenis kemahiran pidato seperti perdebatan dan pengucapan awam.

“Ia sentiasa menjadi keutamaan kepada Yayasan Sarawak untuk membantu dalam mempromosikan inti pati asas bahasa Inggeris sebagai medium komunikasi untuk pelajar sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman supaya mereka tidak akan ketinggalan untuk mempelajari bahasa Inggeris,” katanya.

Beliau berkata dengan motto Yayasan Sarawak ‘The Buffer of Education Development’, ia mencerminkan semangat dan kesedaran tentang tanggungjawab kepada generasi muda.

Dengan adanya program literasi itu Abu Bakar memberitahu, ia membolehkan mereka membantu kedua-dua pelajar di peringkat sekolah menengah dan rendah tentang kepentingan untuk memahmi bahasa Inggeris serta menggunakan tatabahasa dan kosa kata dengan betul.

“Melalui pendekatan ini, Yayasan Sarawak mendapati untuk mendapatkan dan mencetuskan minat kepada subjek Bahasa Inggeris di seluruh sekolah adalah dengan menubuhkan aktiviti menarik sama ada pelajar sekolah menengah atau rendah,” tegasnya.

Beliau berkata, selain program terbabit Yayasan Sarawak turut merancang pelbagai program bersama Jabatan Pendidikan Sarawak serta agensi lain dalam membangunkan pendidikan di negeri ini.

Pada majlis yang sama semalam, Jamilah turut menyampaikan buku bacaan bagi program ‘English Literacy Directions Programme For Secondary School’ kepada 33 sekolah rendah dan dua sekolah menengah sekitar Lundu.

Ia akan diperkembangkan ke sekolah-sekolah lain di negeri ini dan akan memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar khasnya di luar bandar dan pedalaman dalam memperkasakan serta menguasai bahasa Inggeris.

Advertisement