Anda di sini

Cindy mahu terokai misteri ikan lumba-lumba

Advertisement

Oleh Hamimi Kassim, Gambar SDP //

MINAT mendalam pada hidupan liar serta ingin merungkai misteri yang terdapat pada ikan lumba-lumba di Sarawak mendorong Cindy Peter, 28, melakukan kajian dan penyelidikan terhadap ikan tersebut di negeri ini.

Berbeza dengan hidupan darat, menurutnya, hidupan marin seperti ikan lumba-lumba merupakan mamalia yang penuh misteri kerana sukar untuk kita mengetahui apa yang ia lakukan di dalam air.

“Jika cabaran yang saya cari, ya ia memang suatu yang mencabar.

“Tetapi cinta terhadap hidupan liar (marin) menguatkan lagi semangat saya untuk terus mencebur diri dalam penyelidikan ikan lumba-lumba ini,” katanya.

“Hidupan laut khasnya ikan lumba-lumba menarik untuk dikaji dan paling penting saya ingin menunjukkan kepada dunia terdapat ikan lumba-lumba di Sarawak,” tambahnya lanjut.

Anak kelahiran Betong berbangsa Iban ini meru-pakan Felo Penyelidik bagi Projek Ikan Lumba-Lumba Sarawak (SDP), Institut Biodiversiti dan Pemuliharaan Alam Sekitar, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan mengakui mempunyai cita-cita yang tinggi untuk meneruskan kajiannya dalam bidang genetik ikan lumba-lumba.

Mengimbau pertama kali terlibat degan bidang ini, ceritanya, dia menyertai SDP pada Mei 2008 untuk menimba pengalaman bersama seorang Felo Penyelidik UNIMAS warga Amerika Dr Gianna Minton yang bertugas di Miri mengikut suaminya bekerja dengan Shell.

“Sejak menyertai SDP pada tahun 2008, saya telah menjadi pembantu penyelidik beliau dan bermula pada masa itu juga saya bermula membangunkan penyelidikan untuk Sarjana (Master).

“Melalui projek ini saya dapat meneruskan penyelidikan sarjana pada tahun 2009 untuk mengkaji ikan lumba-lumba Irrawaddy di Kuching,” katanya sambil menambah tiada sesiapa di Malaysia pada masa itu melakukan kajian dan penyelidikan mengengainya.

Menurutnya, dalam kajian itu dia mengkaji tentang corak taburan (lokasi), pilihan habitat (kemasinan air), suhu, jarak habitat dari pesisiran pantai serta bilangan populasinya.

Jelas Cindy lagi, pada penghujung tahun 2012, Dr Gianna terpaksa berpindah mengikut suaminya dan sejak itu dia mengambil alih tempatnya sebagai felo penyelidik di SDP sehinggalah sekarang.

“SDP merupakan satu projek yang diasaskan melalui MoU antara UNIMAS, Perbadanan Perhutanan Sarawak dam Shell Berhad di mana mereka memberi tumpuan kepada empat spesies ikan lumba-lumba yang paling biasa dijumpai di perairan Sarawak.

“Empat spesies tersebut ialah ikan lumba-lumba Irrawaddy (Orcaella brevirostris), Finless Porpoises (Neophocaena phocaenoides), Indo-Pacific Humpback (Sousa chinensis) dan Bottlenose (Tursiops aduncus),” ujarnya.

PATUHI PERATURAN: Peserta mendengar taklimat daripada Cindy (dua kanan) sebelum menyaksikan ikan lumba-lumba.

PELBAGAI KAJIAN

Dia menegaskan, melalui kajian sarjananya, terdapat kira-kira 150 hingga 200 ikan lumba-lumba Irrawaddy dan 150 spesies Finless terdapat di kawasan teluk Kuching dan Bako-Buntal.

Ketika diajukan soalan sama ada populasi ikan lumba-lumba di Kuching berkembang atau tidak, Cindy menjelaskan, “Adalah sukar untuk mengatakan sama ada bilangannya semakin meningkat atau tidak kerana kita tidak tahu berapa banyak ikan lumba-lumba di sini sebelum penyelidikan dilaksanakan pada 2008.”

“Hanya sekarang kita mempunyai jumlah tersebut,” katanya bersemangat memberitahu bahawa pemantauan akan terus dilaksanakan oleh SDP dan setelah itu baharulah dapat dipastikan ia semakin bertambah atau berkurangan.

Ketika ditanya mengenai masa depan ikan lumba-lumba di Sarawak, Cindy melahirkan harapan agar dia dapat melakukan kajian mengenai morphometric dan genetik daripada ikan lumba-lumba Irrawaddy untuk PhDnya.

Ini kerana dia mempercayai gen untuk populasi ikan lumba-lumba di sini mungkin berbeza daripada spesies yang terdapat di perairan Australia dan Indo-China.

“Dan satu lagi perkara yang kita ingin laksanakan ialah kajian mengenai akustik yang berkaitan dengan bunyi ikan lumba-lumba dan paus,” jelasnya.

Setakat ini katanya, kajian ikan lumba-lumba di teluk Kuching telah dihadkan kerana musim kering dari Mac hingga Oktober bagi langkah keselamatan.

“Tidak banyak yang diketahui tentang apa yang ikan lumba-lumba dilakukan sepanjang musim hujan.

“Dengan menggunakan akustik, kita mahu menggunakan peralatan di kawasan tertentu dan kita mahu melihat apa yang mereka lakukan dan masa mereka berada di sana,” jelasnya sambil menambah, pada masa ini kajian ikan lumba-lumba hanyalah menggunakan bot kaji selidik.

Dalam pada itu Cindy menjelaskan, SDP bersama Persatuan Pencinta Alam Cawangan Kuching (Malaysian Nature Society atau MNSKB) kini sedang berusaha mencari langkah membawa aktiviti pemerhatian ikan lumba-lumba sebagai salah satu aktiviti pelancongan komersial di negeri ini.

“Pada masa ini juga, kita sedang berusaha memperkenalkan aktiviti pemerhatian ikan lumba-lumba kerana kita dapat lihat peluang yang sungguh besar khasnya kepada aktiviti pelancongan di negeri ini.

“Ini kerana ia secara tidak langsung dapat memberikan kesan kepada peningkatan ekonomi penduduk khasnya mereka yang berada di sekitar habitat ikan lumba-lumba ini dan mempunyai pengetahuan mengenainya,” ujarnya.

RISIKO INTERAKSI

Dalam pada itu, Cindy tidak menolak kesan aktiviti pemerhatian ini kepada ikan lumba-lumba sekiranya dilakukan dengan keadaan tidak selamat.

“Sentiasa ada risiko apabila adanya interaksi antara manusia dengan mana-mana hidupan liar biarpun di daratan dan laut.

“Justeru, bersama MNSKB pemerhatian yang kita kendalikan adalah penuh tanggungjawab yang merangkumi etika demi menjaga keselamatan ikan tersebut dan juga manusia,” katanya.

Cindy turut menasihati masyarakat agar tidak memakan atau menyentuh ikan lumba-lumba kerana ia mungkin mempunyai penyakit.

“Selain itu, kita juga menasihatkan pemilik bot agar membawa bot masing-masing dengan perlahan (boleh dijangka) dan tidak menukar arah secara tiba-tiba kerana boleh membahayakan ikan tersebut khasnya anaknya,” tambahnya.

Cindy berharap agar orang ramai yang mempunyai aduan terhadap perbuatan tidak bertanggungjawab terhadap ikan itu bolehlah menghubungi mana-mana pengendali pelancongan atau terus kepada Lembaga Pelancongan Sarawak.

Menurutnya, ikan lumba-lumba dilindungi di bawah beberapa undang-undang di negeri ini iaitu Akta Perikanan 1985, Ordinan Perikanan (Kawalan Spesies Terancam) 1999 dan Perlindungan Hidupan Liar 1998.

Terdahulu, pada 24 Ogos lalu, penulis berpeluang mengikuti sesi pemerhatian ikan lumba-lumba anjuran MNSKB bertempat di Permai Rainforest Resort.

Aktiviti ini merupakan antara aktiviti bersempena Santubong Nature Festival (SNF) anjuran MNSKB yang akan diadakan pada 8 dan 9 November akan datang.

SNF bertujuan meningkatkan kesedaran orang awam terhadap kepetingan kawasan Santubong dari segi ekologi, alam semula jadi dan sejarah dianjurkan bersama dengan Permai Rainforest Resort dan disokong oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Muzium Sarawak.

Sehubungan itu, untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti sempena SNF bolehlah menghantar e-mel ke [email protected] atau dengan melayari laman web mnskuching.blogspot.com.

KAJIAN: Cindy melakukan pemantauan ikan lumba-lumba.

Advertisement