Anda di sini

FAS enggan jual tiket kepada penyokong Perak

Advertisement

Oleh Harry Ilias

 

KUCHING: Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) bertegas tidak akan menjual sebarang tiket kepada penyokong Perak bagi menyaksikan perlawanan Piala Malaysia 2014 antara kedua-dua pasukan di Stadium Negeri malam ini.

Setiausaha Agung FAS Abdullah Julaihi turut menasihati penyokong Perak agar tidak hadir menyaksikan perlawanan tersebut bagi mengelak sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

“FAS telah memutuskan tidak akan menjual tiket kepada penyokong Perak dan menasihati mereka agar tidak datang ke stadium sebagai langkah keselamatan.

“Bagaimanapun, kita tahu penyokong lawan boleh mendapatkan tiket daripada saluran lain. Itu hak mereka tetapi FAS tidak akan menjamin keselamatan jika mereka berkeras untuk datang ke stadium,” ujarnya.

Sebelumnya, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin mendesak agar FAS menjual tiket kepada penyokong Perak kerana ia sebahagian daripada peraturan yang telah ditetapkan dalam pertandingan Liga Malaysia.

Sementara itu, Sarawak belum mahu mengangkat bendera putih dan bersedia berjuang habis-habisan bagi merebut slot ke suku akhir Piala Malaysia 2014.

Demikian tegas pengendalinya, Robert Alberts menjelang pertemuan menentang Perak pada malam ini.

Menurut Alberts, keyakinannya masih menebal terhadap peluang Sarawak untuk memintas di saat akhir, sekali gus mara ke pusingan seterusnya.

“Saya tidak menganggap peluang kita telah tertutup kerana kita cuma dibezakan empat mata dengan pendahulu kumpulan. Apapun boleh berlaku dalam dua perlawanan terakhir.

“Cuma fokus kita kini adalah memperbaiki corak permainan untuk memenangi kedua-dua perlawanan tersebut,” katanya semalam.

Misi Sarawak malam ini dilihat sukar ekoran ketiadaan Junior Eldstal dan Gabor Gyepes selepas kedua-dua pemain itu dibuang padang pada perlawanan di Alor Setar, Rabu lalu.

Sarawak menghuni tangga tercorot Kumpulan B dengan tiga mata manakala Perak dan Terengganu berkongsi tujuh mata dan Kedah dengan enam mata di tangga ketiga.

Kemenangan ke atas Perak pasti melegakan tuan rumah namun mereka perlu berdepan ujian lebih berat menentang Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 3 September depan.

Advertisement