Anda di sini

Budayakan ciptaan daripada bahan terbuang

Advertisement

Oleh Abang Ismail Abang Su’ud //

Ia untuk pulihara alam sekitar agar dapat diwarisi dan dinikmati generasi akan datang

BINTULU: Ilmu pengetahuan ditimba dan hasil ciptaan yang direka serta dipamerkan pelbagai pihak berkaitan bahan-bahan terbuang sewajarnya diguna dan dijadikan budaya kehidupan seharian masyarakat dalam usaha memulihara alam sekitar.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata ini bagi memastikan alam sekitar sihat, selamat, tidak tercemar, bumi, air dan udaranya dapat diwarisi dan dinikmati generasi akan datang.

Katanya penubuhan Jabatan Alam Sekitar bertepatan dengan peranannya memastikan apa juga tindakan masyarakat hari ini mematuhi undang-undang sedia ada supaya generasi baharu pada masa depan dapat menikmati alam sekitar yang tidak tercemar.

“Mengapa Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) termasuk Sarawak Forestry Corporation (SFC), Jabatan Hutan ditubuhkan? “Ini memastikan setiap kita bertanggungjawab dengan apa yang dilakukan sekali gus ordinan-ordinan berkaitan dapat dibahas pada Persidangan Dewan Undangan Negeri dan seterusnya dikuatkuasakan,” katanya pada majlis penutupan Pertandingan `3R (Kitar Semula, Guna Semula dan Kurangkan) – Inspiring Innovation and Music With Nature 2014’ di sini semalam.

Beliau diwakili Menteri Muda Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh.

Program itu dianjurkan Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) melalui anak syarikatnya, ASEAN Bintulu Fertilizer Sdn Bhd (ABF) dengan kerjasama NREB, Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA)dan Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu.

Katanya sejak program itu dianjurkan pada 2009, ia mampu meningkatkan kesedaran dalam pemuliharaan alam sekitar kalangan masyarakat.

Justeru, beliau menggesa syarikat-syarikat multinasional yang melabur di Taman Perindustrian Samalaju dalam Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dengan pelaburan berbilion ringgit supaya mencontohi PCG menganjurkan program seumpama itu.

“Tidak hanya PCG aktif tetapi semua orang terutama syarikat-syarikat multinasional melabur di Samalaju,” katanya.

Program itu merupakan aktiviti tahunan bagi menggalakkan masyarakat menggunakan kreativiti bahan terbuang dikitar semula melalui 3R, memupuk perasaan cinta alam sekitar, mendidik dan membudayakan cara hidup yang baik serta tidak membuang sisa atau sampah sesuka hati.

Katanya masyarakat perlu mempraktikkan amalan 3R dalam kehidupan seharian, memulihara alam sekitar agar sentiasa bersih dan hijau tanpa terlalu menekankan kepada aspek keuntungan ekonomi semata-mata sebaliknya pembangunan yang mapan dan seimbang.

Sementara itu, Ketua Maklumat dan Pegawai Teknologi PCG Dr Ross Gilmourin berkata pertandingan itu sebahagian aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) PCG memberi kesedaran 3R kalangan orang awam khususnya masyarakat setempat.

“Kami percaya program 3R adalah landasan terbaik meminimum pembuangan bahan sisa dan menerapkan konsep kitar semula di kalangan generasi muda sekali gus membantu memulihara alam sekitar untuk kebaikan generasi hari ini dan masa depan,” katanya.

Turut hadir Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif ABF Mohd Zainol Mohd Zin dan Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu Abdul Mu’in Abdul Kassim.

Advertisement