Anda di sini

Menantu durjana kena jel 14 tahun

Advertisement

Oleh Reno Benjamin

 

TERIMA PADAH: Mohammad diiring keluar dari kamar Mahkamah Sesyen Sibu setelah dijatuhi hukuman penjara dan sebatan atas tuduhan merogol mentuanya semalam.

SIBU: Menantu durjana yang didakwa merogol ibu mentuanya dalam kejadian 15 Ogos lalu dijatuhi hukuman 14 tahun penjara serta 10 kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Tertuduh, Mohammad Abdullah @ Su Ngiek Tiing, 42, dijatuhi hukuman selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang juga ibu mentua tertuduh didatangi oleh tertuduh ketika sedang duduk di atas tilam di ruang tamu rumahnya di Kampung Jeriah, Jalan Oya di sini pada 15 Ogos lalu, kira-kira jam 4 petang.

Tertuduh kemudian bertindak menolak mangsa berusia 68 tahun ke atas lantai sebelum menanggalkan pakaian mangsa dengan menggunakan kekerasan.

Selepas itu, tertuduh bertindak membuka seluarnya sebelum melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap ibu mentuanya.

Pada masa sama, mangsa cuba menjerit meminta tolong namun mulut mangsa ditutup oleh tertuduh menggunakan kain selimut.

Selepas merogol mangsa, ayah kepada lapan orang anak itu kemudian memasuki bilik mandi sebelum meninggalkan kediaman mangsa.

Pada keesokan harinya kira-kira jam 7 pagi, mangsa kemudian menceritakan apa yang berlaku kepada anak perempuannya yang juga isteri kepada tertuduh.

Anak perempuannya kemudian menasihatkan mangsa membuat laporan polis sebelum menjalani pemeriksaan di Hospital Sibu.

Berikutan laporan dibuat, tertuduh ditahan awal pagi pada 17 Ogos di rumah yang sama sebelum ditahan reman selama seminggu.

Hasil siasatan tertuduh mengaku merogol ibu mentuanya.

Dalam rayuan, Mohammad yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman ringan.

Tertuduh juga memberitahu kesalahan itu merupakan kesalahan pertamanya selain berkeluarga serta mempuyai lapan orang anak berusia antara satu hingga 23 tahun.

Advertisement