Anda di sini

Tiga sekolah dilanda banjir kilat di Melaka pulih

Advertisement

MELAKA: Tiga sekolah yang ditutup setelah dinaiki air ekoran banjir kilat semalam telah pulih.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Dan Teknologi, Teknologi Hijau Dan Inovasi Melaka, Datuk Md Yunos Husin bagaimanapun berkata Sekolah Kebangsaan Pulai, Jasin serta Sekolah Tinggi Perempuan Melaka dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Teja di Melaka Tengah mengalami kerosakan perabot akibat kejadian itu.

Beliau berkata pihaknya kini sedang menilai jumlah kerugian yang dialami sekolah berkenaan.

“Sekolah-sekolah terlibat dijangka dibuka seperti biasa pada Isnin ini sekiranya tidak lagi berlaku kenaikan paras air berikutan hujan lebat,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, semalam.

Dalam kejadian kelmarin, beberapa kawasan di seluruh Melaka dinaiki air berikutan hujan lebat lebih lima jam bermula awal pagi.

Daerah Jasin merupakan kawasan terjejas teruk yang melibatkan kira-kira 800 keluarga dengan jumlah mangsa sebanyak 3,000 orang selain beberapa kawasan di Melaka Tengah termasuk Bukit Baru, Bukit Katil, Bukit Bayan, Bukit Pulau, Kampung Tanjung Minyak, Kandang, Solok Kemang, Pengkalan Renggam, Bukit Lintang, Paya Rumput dan Kota Lasamana.

Namun, tiada pusat pemindahan yang dibuka. — Bernama

Advertisement