Anda di sini

PSKPP: Kontinjen Betong sasar ranking lima terbaik

Advertisement

BETONG: Kontinjen Persatuan Sukan Dan Kebudayaan Pejabat Pendidikan (PSKPP) Bahagian Betong akan menyertai Karnival PSKPP peringkat Negeri Sarawak Kali Ke-34 yang akan berpusat di Kuching pada 13 hingga 15 Ogos ini.

Ketua Kontinjen, Sapawi Mahdi berkata daripada 29 jenis permainan dipertandingkan hanya satu permainan sahaja digugurkan untuk mereka disertai yang melibatkan seramai 354 peserta akan mengharungi cabaran Bahagian Betong pada temasya kali ini.

Katanya, penyertaan kali ini bukan sekadar memenuhi kuota senarai yang ditetapkan tetapi untuk memberi cabaran kepada bahagian lain yang menyertai.

“Kita tidak sekadar mengekori penyertaan kontinjen lain tetapi mengepalai barisan bintang-bintang sukan dalam jabatan kita.

“Sasaran kita pada penyertaan tahun ini ialah berada pada ranking lima terbaik kerana kita perlu mengatasi atau sekurang-kurangnya menyamai rekod pencapaian tahun lalu,” tegasnya.

“Tahun lalu kita di kedudukan kelima daripada sebelas pasukan yang bertanding, antara pencapaian yang memberangsangkan dan boleh dibanggakan ketika ini.”

Dalam pada itu, Sapawi mengingatkan kepada pesertanya agar memanfaatkan peluang yang diberikan kerana setiap pasukan mempunyai peluang yang sama rata dengan pasukan lain.

“Jangan jadikan alasan tidak mempunyai masa untuk latihan faktor kekalahan kelak dan jangan pula jadi pasukan belasahan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa majlis penyerahan baju kontinjen dan sesi taklimat bersama pemain sebelum kontinjennya berlepas ke Kuching bertempat di Sekolah Kebangsaan(SK) Nanga Ajau, dekat sini kelmarin.

Beliau turut mengingatkan faktor keselamatan perlu dititik berat dan diberi keutamaan dalam perjalanan ke tempat dituju.

“Perlu saya mengingatkan kepada anda semua agar menjaga keselamatan sepanjang perjalanan serta tingkah laku sepanjang temasya berlangsung. Tanggungjawab sebagai penjawat awam dan yang paling utama menjaga nama baik jabatan,” tegasnya.

Pada majlis itu juga turut dilangsungkan upacara penyerahan baju kontinjen yang disampaikan oleh Ketua Unit Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan (UPPK), PPD Betong, Syahrum Jais kepada Sapawi.

Turut hadir pengetuapengetua, guru-guru besar, ketua kontinjen dan peserta.

Advertisement